07 August, 2016

SEMERAH KEKALKAN KEJUARAAN SOFBOL


Team Sofbol Semerah : Berdiri dari kiri Tn Hj Ramlan Pit (GPKO), Tn Hj Hashim A. Ghani, En Ahmad Hamizan, Adila, Amelia, Rabiatun, Azlina, Cik Hasralda dan Pn Wahedah Wahab. Barisan tengah, Norsyikin, Noraqilah, Suhaily, Normaisarah, Ain Farhana, Syazwani. Duduk dari kiri, Aisyah, Anis, Nuraisyah, Wahidah, Chempaka Ilyani dan Syzalyna



          Semerah mengekalkan kejuaraan sofbol buat kali kedua berturut-turut ! Pasukan SMK Semerah yang masih mengekalkan para pemain yang sama terus menyerlahkan keunggulannya apabila menjuarai Pertandingan Sofbol Bawah 18 Tahun Daerah Batu Pahat. Pada tahun ini pertandingan diadakan pada 20-21 Julai 2016 di SMK Dato’ Sulaiman.  
Dengan dilatih oleh Tn Hj Hashim dan dibantu oleh Cik Hasralda dan En Yaser, pasukan ini meneruskan dominasinya dalam permainan sofbol ini apabila menewaskan SMK (P) Temenggung Ibrahim 9-5 pada perlawanan akhir.
Sementara itu, team yang diurus selia oleh En Ahmad Hamizan dan Pn Wahidah Wahab memulakan langkah awal dengan membenam tuan rumah SMK Dato’ Sulaiman 12-2. Seterusnya menumbangkan SMK Tunku Mahmood Iskandar 11-4 dan menewaskan SMK Senggarang 14-3 untuk menjadi johan kumpulan. Pada perlawanan separuh akhir, Semerah menewaskan SMK Dato’  Seth 12-4.
Pertandingan yang diadakan pada 20-21 Julai ini disertai oleh 8 pasukan untuk kategori perempuan manakala 6 pasukan lelaki bertanding untuk kategori lelaki yang diadakan pada 19 Julai. Pada tahun ini pertandingan dianjurkan oleh SMK Dato’ Sulaiman.
          Dalam pada itu, Semerah bermula  garang pada perlawanan akhir menentang SMK (P) Temenggung Ibrahim dengan memperoleh 7 larian pada inning pertama. Pasukan TIGS mengejar rapat 2 larian. Pada inning kedua, Semerah terus menjarakkan larian dengan mendapat 2 lagi larian namun terus dihambat TIGS yang memperoleh 3 larian. Akhirnya, pada inning ketiga Semerah terus mengukuhkan kedudukan dengan menukarkan Amelia menggantikan Aisyah sebagai pitcher dan seterusnya menamatkan perlawanan dengan 9 larian berbalas 5.

          Inilah kejuaraan kali kedua berturut. Kejuaraan ini amat bererti kepada Semerah yang menyasarkan kejuaraan kali ketiga pada tahun depan iaitu dalam usaha mendominasi arena sofbol bagi daerah Batu Pahat. Tahniah kepada SMK Semerah. Anda hebat! Teruskan perjuangan.