Pada 18-20 Oktober 2008, Panitia PJPK telah menganjurkan XPDC Ke Taman Negara Selai, Bekok. XPDC ini disertai oleh 40 orang pelajar Tingkatan 3, 4, dan 6R serta diiringi oleh 8 orang guru iaitu En Hashim, En Halim, En Roslan, En Hafiz, En Zaad, Pn Zamilah, Cik Nornida dan Cik Nazira.
Objektif program adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai hutan dan persekitarannya, meningkatkan kecergasan fizikal dan minda serta menyemai jati diri di kalangan para peserta. Hari pertama bermulalah cabaran iaitu laluan bukit berliku dan cuaca hujan namun tidak mematahkan semangat membara para peserta. Ilmu perhutanan seperti memasak makanan dalam daun, teknik menghidupkan api dan sebagainya dicurahkan oleh fasilitator pada petang hari pertama.
Pada hari kedua, cabaran mendaki ditempuhi oleh semua peserta. Penat lelah mereka terubat setelah menemu lokasi air terjun. Apa lagi mereka begitu takjub melihat keindahan dan kesejukan air terjun. Kepenatan mengharungi denai dan hutan rimba serta serangan pacat seolah-olah hilang apabila aktiviti air dijalankan di kawasan air terjun tersebut. Pada malamnya para peserta menunjukkan bakat dalam aktiviti pertandingan memasak dengan mempraktikkan ilmu memasak menggunakan daun. Ikan diperoleh dari sungai berdekatan. Rupanya mereka semua berbakat dalam masakan. Guru-guru lelaki pula pergi berburu manakala guru-guru perempuan menjadi hakim pertandingan masakan.
Hari ketiga adalah aktiviti santai dengan lebih banyak aktiviti air seperti berkayak, berenang dan permainan air. Para peserta XPDC amat teruja dengan program ini. Tahun depan buatlah lagi.
Terima kasih atas kerjasama semua peserta, guru-guru pengiring, para fasilitator, pihak taman negara dan pihak sekolah.