08 August, 2009

KE ARAH PERINDUSTRIAN SUKAN NEGARA

Kuala Lumpur. Bidang sukan akan berubah di Malaysia. Peranan kolektif daripada semua pihak diperlukan untuk memulakan era baru dalam pembangunan sukan negara. Berita baik ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengiltizamkan sukan Malaysia era baru. Beliau merakamkan visi tersebut dalam Konvensyen Industri Sukan (Kismas) 2009. Visi ini adalah landasan dalam rancangan mengindustrikan sukan tanah air menjelang 2011.
Ujarnya kita mahu menjadikan sukan sebagai industri yang bergerak seiring dengan pembangunan negara. Justeru itu tema "Sukan Adalah Satu Industri" telah dipilih untuk melonjakkan minat rakyat dalam bidang sukan. Jelas Datuk Seri Najib lagi, memiliki atlet yang berprestasi tinggi dan jaguhan dunia akan menarik lebih ramai warga negara yang akan meminati sukan dan seterusnya memajukan industri berkaitan sukan.
Perdana Menteri menggariskan enam perspektif dalam menghalatuju sukan sebagai industri. Pertama, sukan berdasarkan pencapaian atlet individu. Kedua, Sukan sebagai instrumen dalam perpaduan nasional yang akan melangkaui batasan agama, bangsa dan politik. Ketiga, sukan menjadi pembinaan nasional dan kebanggaan negara. Keempat, sukan yang mampu mempromosikan gaya hidup sihat. Kelima, sukan yang mampu meningkatkan sektor pelancongan dan mempromosikan destinasi menarik negara. Dan keenam, sukan merupakan industri yang menyumbangkan pertumbuhan ekonomi nasioal.
Negara kita sebenarnya telah memulakan langkah awal dengan beberapa jaguh atlet negara yang telah mencapai status dunia seperti Datuk Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei (sekadar menyebur beberapa nama). Kita juga berbangga dengan penganjuran sukan bertaraf dunia seperti Sukan Komanwel dan Piala Bolasepak Remaja Dunia. Prasarana sukan kita juga prasarana kelas pertama.
Beberapa bayangan telah digambarkan untuk menjadikan sukan sebagai satu industri. Antaranya 'One Stop Centre', bandar sukan dan membida Sukan Asia 2019. Marilah kita menyokong visi negara dalam merealisasikan Sukan Adalah Satu Industri.

No comments:

Post a Comment