17 December, 2009

BOLA SEPAK MENAMATKAN BADI 20 TAHUN : MASIH ADA SINAR SUKAN NEGARA


Tahniah. Itulah jawapan untuk pasukan bola sepak  Malaysia yang telah mengakhiri kemarau emas selama 20 tahun. Dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Vietnam dalam final bola sepak Sukan SEA, pasukan bimbingan jurulatih K. Rajagopal mengulangi kejayaan memenangi emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Ketika itu skuad emas 1989 dianggotai antaranya Ahmad Yusuf, Dolah Salleh, Zainal Abidin, Serbegeth Sengh, Razip Ismail dan banyak lagi.
Pada separuh masa pertama, skuad negara seolah-olah tiada harapan memenangi perlawanan kerana sebahagian besar dikuasai oleh Vietnam. Hanya 2 kali serangan menembusi kawasan pertahanan Vietnam. Taktik hantaran pendek tidak menjadi. Bahagian tengah seakan-akan tidak berfungsi. Penyudah amat lemah. Serangan Vietnam bertali arus sehingga memaksa benteng pertahanan yang diketuai Aidil Zaquan bekerja keras mempertahankan maruah negara daripada ditembusi gol. 3 percubaan bahaya berjaya ditepis oleh penjaga gol simpanan, Sharbini yang telah bertindak cemerlang sejak menggantikan penjaga gol utama, Amirulhadi Zainal yang digantung tiga perlawanan. Namun separuh masa kedua merubah segalanya apabila 3 pemain dibawa masuk dengan Zaquan Adha dibawa masuk mengatasi ketumpulan serangan negara. Jentera tengah dimantapkan. Dengan serangan bertubi-tubi, Malaysia berjaya menjaringkan gol atas sepakan Norshahrul Idlan Talaha yang terkena kaki pemain pertahanan Vietnam. Gol! Hutang tewas dalam peringkat kumpulan 1-3 berjaya dilunaskan dengan manisnya. Tahniah kepada skuad bola sepak negara. Memenangi emas bola sepak ibarat menang Sukan SEA. Teruskan perjuangan demi maruah bola sepak negara.
Juga tidak lupa kepada semua atlet yang telah menyumbangkan pingat kepada negara. Bergu perempuan, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui telah mengakhiri kemarau emas 35 tahun dalam acara bergu wanita. Renang mengungguli pecahan pingat dengan 9 emas diikuti olahraga dan terjun masing-masing 6 emas. Daniel Bego merangkul 5 emas acara renang. Sepak takraw dan menembak merupakan antara sukan yang merosot pencapaian kerana tidak mencapai sasaran. Kini Malaysia telah mencapai sasaran dengan 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa. Moga sukan negara terus melakari kejayaan dan menempuh era kecemerlangan. Teruskan perjuangan sukan negara. Khop Chai Laos ! Jumpa di Indonesai untuk Sukan SEA Edisi Ke-26 pada 2011.

No comments:

Post a Comment