Bola baling (handball) adalah permainan yang memerlukan pelbagai kemahiran untuk mencapai
sasaran kemenangan dan permainan yang cantik dan menarik. Berikut adalah
beberapa kemahiran dalam bola baling.
KEMAHIRAN ASAS
PERMAINAN BOLA BALING
1. Berlari
2. Melompat
3. Hantaran bola
4. Menyambut bola
5. Mengelecek bola dengan tangan
6. Mengacah
7. Mengadang
8. Menjaring
9. Menjaga gol
KEMAHIRAN PERTAMA : HANTARAN BOLA
Kemahiran menghantar bola adalah asas utama dalam permainan bola
baling. Kemahiran permainan ini menyerupai cara-cara yang digunakan dalam
permainan bola keranjang dan bola jaring. Jenis hantaran yang biasa digunakan
adalah seperti berikut :
a) Hantaran aras dada
b) Hantaran bahu
c) Hantaran lantun
d) Hantaran lompat
e) Hantaran sisi
HANTARAN
ARAS DADA
Berasal daripada
kemahiran yang sama dalam permainan bola keranjang. Sesuai untuk hantaran jarak
dekat di aras dada. Pergerakan bola itu adalah hasil tolakan dari jari-jari tangan. Tangan hendaklah
ikut lajak di akhir tolakan.
Hantaran aras dada |
HANTARAN
BAHU
Cara
ini dilakukan semasa membuat hantaran jauh dan serangan balas secara
mengejut (counter-attack). Kelebihan cara ini ialah persediaan hantaran ini boleh mengelirukan
pihak lawan. Dari keadaan bersedia, pemain boleh terus mengelecek, menjaring,
menukar hala hantaran atau memusingkan badannya.
Hantaran bahu |
HANTARAN
LANTUN
Dilakukan apabila membuat hantaran secara mengejut. Dengan melatunkan
bola. Kelemahannya adalah bola itu dapat disekat oleh pihak lawan yang
bertindak balas pantas. Hantaran ini biasanya dilakukan dengan sebelah tangan.
Hantaran lantun |
HANTARAN
LOMPAT
Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari permainan bola keranjang. Biasanya apabila
seorang penyerang melompat untuk menjaring tidak berpeluang membuat demikian, ia akan membuat
hantaran terus kepada kawannya supaya bola tidak terlepas kepada pihak lawan.
HANTARAN
SISI
Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat hantaran jarak dekat dan pantas. Pemain tidak
perlu memusingkan badannya untuk menghadap ke arah penerima hantarannya apabila
hantaran sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak melibatkan pergerakan
pergelangan tangan dan memang sesuai bagi pemain yang mempunyai tapak tangan yang
besar.
Hantaran sisi |
KEMAHIRAN KEDUA : MENANGKAP BOLA
Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan bola,
memegangnya dengan baik dan terus mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua
belah tangan yang berkedudukan relaks.
Tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat tanpa mengira kelajuan atau
jenis hantaran yang dibuat oleh rakan. Tangkapan yang tepat dan betul bermula
daripada lontaran atau hantaran yang tepat atau sempurna.
CARA MENANGKAP BOLA
1. Dengan
kedua-dua belah tangan – bola aras muka
Apabila hendak menangkap bola
setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala
pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan untuk menangkap
bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah dibawa dekat badan untuk kawalan
yang lebih baik.
2. Dengan
kedua-dua belah tangan – bola rendah
Untuk menangkap bola rendah pemain
perlu merendahkan badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk menerima
bola yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa menangkap bola.
Tangkapan bola rendah |
3. Menangkap
bola dengan sebelah tangan
Cara ini hanya dapat dilakukan dalam
situasi apabila penerima bola tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak
lawan semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola sehingga
dapat ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak tangan
yang menangkap bola hendaklah berada di belakang bola.
4. Menangkap
bola tinggi
Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk
menangkap bola hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam
situasi ini adalah lompatan hendaklah dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua
belah tangan dihulur ke atas untuk menangkap bola. Sebaik sahaja mendarat, bola
hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat mengawalnya dengan lebih kemas.
Tangkapan bola tinggi |
KEMAHIRAN KETIGA : MENJARING BOLA
Jaringan
dari Atas Kepala
Jaringan dari atas
kepala ialah jaringan yang biasa dan mudah dilakukan, serta mudah pula untuk
mendapatkan gol. Jaringan ini juga paling disukai oleh pemain-pemain baru.
Jaringan ini boleh dilakukan oleh pemain dalam kedudukan statik dan kedudukan
bergerak atau berlari.
Teknik melakukan jaringan dari atas
kepala ialah:
1. Pemain bergerak
satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan
berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.
3. Tangan pemain yang
memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke belakang kepala pada aras
bahu.
4. Satu lonjakan
dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola diluruskan ke atas
kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan
pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.
Jaringan
dari Bawah Lengan
Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun, ia boleh
dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang berbadan tinggi.
Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan perhatian pada kawalan atau
pertahanan rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan.
Teknik melakukan jaringan dari bawah
lengan ini adalah seperti berikut:
1. Pemain mengambil
satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan dibengkokkan sambil bola
dibawa ke belakang bawah aras bahu.
2. Tangan pemain yang
memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya melangkah ke depan dan seterusnya
bola dilontar dengan kuat ke sasaran.
3. Kaki kiri pemain
dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.
Jaringan
Lompat
Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas kepala,
tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan lompat ialah pemain perlu bergerak
tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Hal ini terjadi kerana dalam
kebanyakan perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini khususya selepas serangan pantas. Biasanya,
jaringan daripada lompatan dibuat apabila posisi bola berada di puncak
lompatan.
Lompat dan menjaring |
Teknik dalam jaringan lompat adalah
seperti berikut:
1. Pemain bergerak
sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini pemain memegang bola
dengan kedua-dua belah tangan.
2. Di luar garisan
gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambil membuat jaringan dengan
menggunakan sebelah tangan seperti cara jaringan dari atas kepala. Arah yang
dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak lawan.
3. Pemain akan
mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.
4. Tangan dan badan
pemain hendaklah mengikut lajak.
Kelebihan-kelebihan yang ada pada
jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Dari mula bergerak
hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat lompatan sendiri boleh
mengelirukan penjaga gol.
2. Penjaring atau
penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas secara memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh
melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam gol di
celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab
penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka mereka sudah tentu
mempunyai kelebihan psikologi dan peluang.
Jaringan
pada Aras Paha
Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan
gol. Namun, ia memerlukan latihan yang lama. Pemain yang menerima bola, memegangnya pada
kedudukan aras paha, dan dengan serta-merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam
jaringan ini amat pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar
ditentukan oleh penjaga gol atau pemain pertahanan.
Cara jaringannya ialah pemain berlari pantas
ke kawasan gol dan membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah lengan
lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan yang ditujukan ke
sebarang bahagian di bawah palang pintu gol pihak lawan.
Jaringan
Sisi
Penjaring juga boleh membuat jaringan
daripada sisi pemain yang mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan
pada arah kiri pemain lawan. Secara tiba-tiba ,
dia akan mengangkat kaki kanannya, menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri
pada kaki kiri. Apabila mendarat di sisi, pemain berkenaan memusingkan sedikit
badan dan bahunya, membawa bola lebih rendah lalu membuat jaringan di bawah
lengan pemain lawan. Jaringan ini lebih berkesan
jika dilakukan secara mengejut.
Jaringan
Junam dan Jaringan Jatuh
Walaupun dianggap berbahaya dan sukar
dilakukan terutama oleh pemain-pemain baru, jaringan junam jika dilakukan
dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya pada aksi dan gerakannya. Ia
selalunya dilakukan dalam kawasan balingan percuma. Jaringan dari arah
kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain membengkokkan badan supaya dapat
membesarkan lagi sudut jaringan.
Jaringan menjunam dan jatuh |
Jaringan
Penalti
Jaringan penalti dibuat dari garisan
7 meter. Jaringan ini terhad mengikut undang-undang penting, iaitu kaki
penjaring tidak boleh terkena atau melepasi garisan balingan. Jaringan
hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil meniupkan wisel.
Teknik dalam melakukan jaringan penalti
adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di
tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan hendaklah fokus pada penjaga
gol untuk memerhatikan kemungkinan pergerakan yang bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan
jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke
depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya
mengikut lajak.
Jaringan
Lambung
Jaringan lambung (lob) digunakan
untuk menewaskan penjaga gol yang telah bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat
3 situasi berlakunya keadaan begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol
berada jauh di depan golnya dengan tujuan mengecilkan sudut pemain lawan
daripada lontaran penalti.
2. Apabila penjaga gol
meluru ke depan untuk menandingi pemain lawan yang memperoleh bola untuk
membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol
keluar untuk mengecilkan sudut terhadap pemain lawan ketika terjadi serangan
pantas.
Jaringan
Voli
Jaringan Voli adalah sama
dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah
seperti berikut:
1. Jaringan ini
dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola hantaran.
2. Semasa melompat, pemain
menangkap bola dengan kedua-dua belah tangan.
3. Pemain membuat
jaringan sebelum mendarat.
Jaringan voli |
KESIMPULAN
Kemahiran
asas yang terdapat dalam bola baling ialah berlari, melompat, hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola
dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol. Setiap kemahiran
asas ini mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan ke dalamnya.
Sebagai contoh, dalam kemahiran hantaran bola, prinsip sains yang diaplikasikan
ialah sistem tuas di mana bola sebagai beban, lengan sebagai daya dan siku
sebagai fulkrum. Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang
diaplikasikan ialah Hukum Newton Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah
betul untuk mengurangkan inersia bola bagi mengelakkan kecederaan berlaku.
Selain itu, prinsip sains yang diaplikasikan dalam kemahiran menjaring ialah sistem tuas dan daya. Sistem tuas
diaplikasikan ketika bola dihayunkan oleh tangan manakala daya diaplikasikan ketika
kaki mengikut lajak yang diperlukan untuk memberikan daya yang kuat.
Setiap
kemahiran mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan supaya kemahiran tersebut
dapat dipertingkatkan lagi dan bagi mengelakkan kecederaan berlaku kepada
pemain.
BIBLIOGRAFI
BUKU RUJUKAN
1. Lee Chin Choy
(2006). Siri Sukan Popular Fajar Bakti: Bola Baling. Shah Alam.
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
2. Poh Liong Yong
(2003). Fizik Tingkatan 4. Cheras. Pustaka Sistem Pelajaran Sdn.
Bhd.
3. Reita E. Clanton
(1997). Team Handball Step To Success. United States of America.
Human Kinetics, Inc.
4. Teng Boon Tong
(1993). Panduan Pengajaran Kemahiran Asas Permainan. Petaling Jaya.
Longman Malaysia Sdn. Bhd.
5. Wee Eng Hoe (2000). Pengajaran
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Edisi Kedua. Shah Alam. Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
LAMAN WEB
Blog yang berinfomasi dan sangat menarik. Teruskan usaha berkongsi ilmu PJ dan sains Sukan.
ReplyDelete