17 December, 2009

BOLA SEPAK MENAMATKAN BADI 20 TAHUN : MASIH ADA SINAR SUKAN NEGARA


Tahniah. Itulah jawapan untuk pasukan bola sepak  Malaysia yang telah mengakhiri kemarau emas selama 20 tahun. Dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Vietnam dalam final bola sepak Sukan SEA, pasukan bimbingan jurulatih K. Rajagopal mengulangi kejayaan memenangi emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Ketika itu skuad emas 1989 dianggotai antaranya Ahmad Yusuf, Dolah Salleh, Zainal Abidin, Serbegeth Sengh, Razip Ismail dan banyak lagi.
Pada separuh masa pertama, skuad negara seolah-olah tiada harapan memenangi perlawanan kerana sebahagian besar dikuasai oleh Vietnam. Hanya 2 kali serangan menembusi kawasan pertahanan Vietnam. Taktik hantaran pendek tidak menjadi. Bahagian tengah seakan-akan tidak berfungsi. Penyudah amat lemah. Serangan Vietnam bertali arus sehingga memaksa benteng pertahanan yang diketuai Aidil Zaquan bekerja keras mempertahankan maruah negara daripada ditembusi gol. 3 percubaan bahaya berjaya ditepis oleh penjaga gol simpanan, Sharbini yang telah bertindak cemerlang sejak menggantikan penjaga gol utama, Amirulhadi Zainal yang digantung tiga perlawanan. Namun separuh masa kedua merubah segalanya apabila 3 pemain dibawa masuk dengan Zaquan Adha dibawa masuk mengatasi ketumpulan serangan negara. Jentera tengah dimantapkan. Dengan serangan bertubi-tubi, Malaysia berjaya menjaringkan gol atas sepakan Norshahrul Idlan Talaha yang terkena kaki pemain pertahanan Vietnam. Gol! Hutang tewas dalam peringkat kumpulan 1-3 berjaya dilunaskan dengan manisnya. Tahniah kepada skuad bola sepak negara. Memenangi emas bola sepak ibarat menang Sukan SEA. Teruskan perjuangan demi maruah bola sepak negara.
Juga tidak lupa kepada semua atlet yang telah menyumbangkan pingat kepada negara. Bergu perempuan, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui telah mengakhiri kemarau emas 35 tahun dalam acara bergu wanita. Renang mengungguli pecahan pingat dengan 9 emas diikuti olahraga dan terjun masing-masing 6 emas. Daniel Bego merangkul 5 emas acara renang. Sepak takraw dan menembak merupakan antara sukan yang merosot pencapaian kerana tidak mencapai sasaran. Kini Malaysia telah mencapai sasaran dengan 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa. Moga sukan negara terus melakari kejayaan dan menempuh era kecemerlangan. Teruskan perjuangan sukan negara. Khop Chai Laos ! Jumpa di Indonesai untuk Sukan SEA Edisi Ke-26 pada 2011.

14 December, 2009

PENJENAMAAN RUMAH SUKAN 2010

Ura-ura pertambahan dua lagi rumah sukan disambut baik oleh guru-guru. Idea asal Unit Sukan untuk mencadangkan tokoh Ishak Muhammad dan Rahim Kajai sebagai dua nama baru rumah sukan di samping mengekalkan 4 nama rumah sukan sedia ada. Namun demikian, Unit Sukan melontarkan idea lagi iaitu Penjenamaan Semula Rumah Sukan dengan enam (6) rumah sukan baru. Sehubungan itu, soal selidik rambang telah dijalankan untuk mendapatan idea nama rumah sukan baru atau cadangan-cadangan lain. Berikut adalah rumusan soal selidik tersebut :
1. Kekal 4 nama rumah sukan dan hanya tambah 2 rumah sukan yang baru.
2. Nama baru untuk 6 rumah sukan dengan mengekalkan nama tokoh untuk rumah sukan.
3. Nama tokoh-tokoh sukan negara seperti Mokhtar Dahari (bola sepak), Rabuan Pit (olahraga), Adnan Saidin (sepak takraw), Misbun (badminton) dan sebagainya.
4. Nama tokoh-tokoh sukan tempatan seperti Sazali Samad (bina badan), Dollah Salleh (bola sepak), Daud Ibrahim (lumba basikal) dan sebagainya.
5. Nama pejuang patriotik seperti satria, pahlawan, panglima dan sebagainya.
6. Nama jawatan tradisional seperti bendahara, laksamana, temenggung dan sebagainya.
7. Ada juga "idea nakal" yang mencadangkan nama bekas-bekas pengetua.
8. Nama 6 perdana menteri seperti Rahman, Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib.
9. Nama srikandi seperti Dang Anum, Tun Teja, Mahsuri dan sebagainya.
Terima kasih atas kerjasama guru-guru yang telah menyumbangkan idea dan cadangan. Keputusan Penjenamaan Semula Rumah Sukan ini akan ditentukan oleh Majlis Sukan. Jadi kita nantikan jawapannya...tunggu. Yang pasti tahun 2010, 6 rumah sukan akan bertarung untuk merebut aktiviti sukan dan permainan.





08 December, 2009

ENAM RUMAH SUKAN BERENTAP TAHUN 2010

Tahun 2009 akan melabuhkan tirainya tidak berapa lama lagi. Sekejap rasanya cuti hujung tahun ini. Unit Sukan mengucapkan selamat sercuti kepada para pelajar dan semua warga SMK Semerah. Kepada calon-calon SPM dan STPM sedang bertungkus lumus menjawab kertas peperiksaan, Unit Sukan mengucapkan selamat menjawab dan maju jaya dalam menumpuh alam selepas persekolahan. InsyaAllah anda boleh berjaya! Teruskan belajar ; perjalanan anda masih jauh lagi. Anda akan merasai kejayaan suatu hari nanti. "You will see the light at the end of turnnel if you focus on your journey".
Helaian 2010 pula akan dibuka tidak berapa lama lagi. Tahun depan kita akan bertambah jumlah rumah sukan. Jika sebelum ini hanya 4 rumah sahaja iaitu Aminuddin Baki (Merah), Hamdan Tahir (Kuning), Ungku Omar (Biru) dan Zaaba (Hijau), tahun 2010 akan ditambah 2 lagi rumah sukan. Nama rumah sukan tersebut ialah ISHAK MUHAMMAD (Ungu) dan RAHIM KAJAI (Jingga). Ishak Hj Muhamad ialah salah seorang Sasterawan Negara. Antara karya beliau ialah Putera Gunung Tahan. dan Anak Mat Lela Gila. Beliau juga adalah pejuang kemerdekaan menentang Jepun dan British. Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim bin Salim pula digelar Bapa Kewartawanan. Beliau banyak menyumbang penulisan beretika melalui surat khabar seperti Warta Malaya, Majlis dan Utusan Melayu. Penulisannya bermatlamatkan perjuangan menentang imperialisme dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadapa isu-isu semasa pada masa tersebut.
Dengan pertambahan rumah sukan maka perubahan besar akan dilakukan kepada keahlian para pelajar. Pembahagian semula para pelajar akan dilakukan pada awal tahun depan. Semoga dengan bertambahnya dua lagi rumah sukan pada tahun 2010, Unit Sukan mengharapkan persaingan yang lebih sengit antara semua rumah sukan sama ada dalam aktiviti olahraga mahupun pertandingan sukan permainan antara rumah sukan. Semoga sukan dan permainan di SMK Semerah akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

27 October, 2009

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2009 : ANDALAH WIRA DAN WIRAWATI SEJATI


Selasa, 27 Okt 2009. Anda menyumbang dan kami menghargai. Usaha, bakat dan pencapaian para pelajar dihargai oleh pihak sekolah kerana hari ini merupakan kemuncak kokurikulum. Kepimpinan dalam berpersatuan diakui dengan penganugerahan kepada unit pakaian seragam, kelab dan persatuan kepada para pemimpin. Para pemimpin persatuan, kelab dan unit pakaian seragam memperolehi sijil perghargaan atas sumbangan pada tahun 2009. Organisasi yang aktif akan menerima anugerah keaktifan. Justeru itu, satu majlis khas Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2009 telah diadakan di Dataran Informasi untuk majlis penganugerahan tersebut. Pada tahun ini, pemilihan calon sangat sengit. Calon-calon dipilih daripada pelbagai persatuan dan kelab dengan kriteria utama ialah taraf penglibatan mereka dan keaktifan yang memberi impak terhadap sekolah dan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Sehubungan itu, berikut adalah para pemenang anugerah kokurikulum pada tahun 2009 ini :-

  1. Atlet Harapan Lelaki :  Ibrahim bin Hamid 
  2. Atlet Harapan Perempuan :  Nurhafizah bt Zakaria 
  3. Atlet Sukan Terbaik Perempuan : Tiara Natasha
  4. Atlet Sukan Terbaik Lelaki  : Mohd Saifullah bin Md Don
  5. Anugerah Tokoh Sukan PerempuanRohana bt Ayop
  6. Anugerah Tokoh Sukan LelakiMohd Saifullah bt Md Don
  7. Anugerah Tokoh Kokurikulum  Perempuan ; Rohana bt Ayop
  8. Anugerah Tokoh Kokurikulum Lelaki  :  Zaidi bin Marbon
Semoga penganugerahan ini akan memberi satu suntikan kepada para pelajar agar terus memberikan sumbangan kepada pihak sekolah. Tahniah kepada para pemenang anugerah. Bagi atlet  atau tokoh yang masih bersekolah, terush la memberi sumbangan yang terbaik kepada sekolah.



Tahniah daripada Unit Sukan. Teruskan usaha anda demi kecemerlangan  sukan sekolah. Kejayaan anda akan memberikan suntikan baru kepada para pelajar lain untuk berjaya dalam bidang sukan. Kepada guru-
guru, Unit Sukan mengucapkan terima kasih atas segala sokongan, sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan pada tahun 2009. Tanpa kerjasama daripada para guru, kejayaan dan kecemerlangan tidak mungkin tercipta. Tahun depan kita bangkit lagi untuk menyuburkan dan menyemarakkan aktiviti sukan di peringkat dalam dan luaran dengan visi dan misi ke arah kecemerlangan sukan dengan fokus peningkatan kejayaan dalam sukan permainan. InsyaAllah.