16 June, 2011

ANALISA PENCAPAIAN SUKAN PERMAINAN TAHUN 2011


Tabir persekolahan untuk sesi penggal kedua tahun 2011 telah bermula.  Selamat kembali ke sekolah. Begitu juga halnya dengan pesta permainan telah melabuhkan tirai pertandingan untuk peringkat negeri dan kebangsaan dengan berakhirnya peringkat MSSM dan SUKMA pada cuti penggal pertengahan yang lepas. Untuk itu, marilah kita membuat analisa mengenai pencapaian sukan permainan SMK Semerah sehingga setakat ini.
 Tahun 2011, SMK Semerah merangkul 2 johan (bola baling L18 dan catur P18) dan 3 naib johan (hoki L18, sofbol P18 dan kriket L18).  25 orang berjaya mewakili daerah Batu Pahat ke peringkat negeri. Sementara itu, 2 orang pelajar telah berjaya ke peringkat kebangsaan MSSM iaitu Wan Hanafi Wan Zulkifli (kriket) dan Ahmad Syafik Sapary (bola baling). Lihat laporan pencapaian peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Secara analoginya, ada peningkatan dari segi penyertaan yang berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir.  Beberapa permainan yang tidak disertai pada tahun ini seperti bola sepak L18 dan memanah LP18.  Tahun lepas Semerah mempunyai 2 orang wakil ke peringkat negeri manakala bola sepak L18, walaupun tidak berjaya ke suku akhir namun team bola sepak L18 tidak kalah dalam perlawanan. Mungkin nasib tidak menyebelahi pada tahun lepas. Tetapi mengapa tahun 2011, team bola sepak tidak menyertai pertandingan?
Sementara itu, bagi pasukan memanah pula, kita tidak mempunyai kelengkapan alatan dan kepakaran dalam arena memanah. Kos alatan memanah dan penyelenggarannya adalah sangat tinggi.  Dulu kita menagih belas ihsan SMK Dato’ Onn untuk pelajar kita berlatih dan menggunakan alatan memanah di sana.
Ada juga permainan yang agak lama kita tidak menyertai seperti badminton, ragbi dan bola tampar. Mungkinkah ada sinar untuk kita mengilap para pelajar menyertai permainan tersebut. SMK Semerah pernah menjadi naib johan bola tampar L15 pada tahun 2007 yang dikelolakan oleh SMK Dato’ Seth dan pernah menyertai pertandingan L18 pada tahun 2008 dan 2009
Sementara itu, kali terakhir Semerah menghantar pemain badminton ialah pada tahun 2007 dan selepas itu tiada lagi bakat yang terbaik di Semerah yang boleh diketengahkan ke peringkat daerah. Manakala bagi ragbi pula, Semerah sudah hampir 8 tahun tidak memiliki pasukan ragbi. Dahulu sekitar tahun 80-an, Semerah amat digeruni dalam arena ragbi. Tetapi kini ragbi mengalami zaman suram. 
Adakah sesuatu perlu dilakukan? Ya, sesuatu perlu dilakukan bagi permainan yang sudah lama tidak menyertai pertandingan pada peringkat daerah. Sesuatu juga dilakukan untuk meningkatkan pencapaian. Bagi Unit Sukan, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan pencapaian dan yang paling penting mencungkil bakat untuk diketengahkan. Usaha ini perlu sokongan semua pihak khususnya para guru agar misi kita berjaya.

No comments:

Post a Comment