Subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu diperkukuhkan untuk membantu pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan. Kejayaan pelaksanaan dasar akan mengembangkan sektor sukan di peringkat glokal dan antarabangsa khususnya meningkatkan pencapaian sukan negara. Menurut Dr Mohar Kasim, inilah masanya meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya menyokong perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan.
Berbeza dengan mata pelajaran lain yang hanya menumpukan kepada aspek pengetahuan sahaja, Pendidikan Jasmani (PJ) boleh meningkatkan keupayaan minda, psikomotor dan nilai sosial seseorang pelajar.
Hal ini boleh dibuktikan apabila seseorang pelajar itu melakukan sesuatu aktiviti fizikal. Perbuatan itu bukan sahaja melibatkan keupayaan fizikalnya, malah ia juga dapat meningkatkan tahap keyakinan, pengetahuan dan keseronokan melakukan aktiviti berkenaan.
Justeru PJ merupakan mata pelajaran yang mempunyai kekuatan dan berpotensi untuk melengkapkan pelajar dalam semua aspek jasmani, intelektual, rohani dan sosial, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, penulis mendapati PJ tidak dapat dijalankan dengan berkesan kerana kekangan masa, kekurangan peralatan, kemudahan yang tidak mencukupi, guru yang tidak berkelayakan atau kurang berpengalaman yang mengajar subjek itu.
Kesemua faktor berkenaan membawa kepada kurangnya minat pelajar terhadap mata pelajaran ini. Ditambah pula dengan keadaan yang tidak selesa untuk belajar kerana panas dan berpeluh semasa di dalam kelas selepas PJ. Ia disebabkan tiada kemudahan bilik mandi yang sempurna untuk pelajar membersihkan tubuh badan. Bagi memastikan keberkesanan PJ, Kementerian Pelajaran perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang meliputi peruntukkan jumlah jam dalam seminggu, peralatan, kemudahan, guru yang berkelayakan, dan kandungan kurikulum yang mudah untuk dilaksanakan secara berkesan bukannya hanya di atas kertas.
Dibimbangi jika PJ dilaksanakan dengan sekadar melepaskan batuk di tangga akan memberi impak negatif kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan dan seterusnya akan menjejaskan perlaksanaan dasar 1Murid 1Sukan. Oleh sebab itu, dicadangkan tiga langkah baharu untuk memastikan PJ dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Langkah pertama ialah dengan mengadakan satu sesi persekolahan dan ia boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Dalam konteks ini, PJ sesuai dilaksanakan pada sebelah petang. Hal ini membolehkan pelajar terus pulang ke rumah tanpa perlu masuk semula ke dalam kelas selepas PJ. Jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar akan dapat menarik semula minat pelajar untuk menjalankan aktiviti fizikal.
Jumlah waktu untuk PJ juga boleh ditambah tanpa mengganggu mata pelajaran lain. Usaha murni Kementerian Pelajaran yang telah dan sedang membina sekolah di setiap kawasan perumahan menjadi pemangkin proses untuk melaksanakan kelas PJ pada sebelah petang.
Di samping itu, pelbagai masalah sosial yang serius akan dapat diatasi kerana pelajar akan lebih menumpukan kepada aktiviti fizikal yang banyak membawa ke arah kebaikan. Langkah kedua ialah menempatkan lebih ramai graduan PJ di setiap sekolah, sekurang-kurangnya empat orang guru - dua guru lelaki dan dua guru wanita - bagi sekolah yang ada pelajar perempuan.
Bilangan ini bukan satu masalah besar kerana setiap tahun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mengeluarkan graduan PJ yang berkelayakan.
Langkah ketiga adalah dengan melihat semula alatan dan kemudahan yang sedia ada di setiap sekolah sebelum merangka kurikulum PJ. Ketika ini terdapat juga sekolah yang gagal untuk mengikuti silibus yang ditetapkan. Perkara ini disebabkan sekolah tidak ada atau kurang alatan dan kemudahan untuk melaksanakan kemahiran-kemahiran tersebut. Oleh itu, ia hanya menjadi sebagai sesuatu yang ideal tetapi tidak boleh dipraktikkan.
Diharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan walaupun secara berperingkat-peringkat sebagai satu suntikan baharu kepada mata pelajaran PJ ke arah melahirkan individu yang berketerampilan dari segi intelektual, jasmani dan sahsiah.
Dr Mohar Kasim ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment