10 October, 2011

MARI TERUSKAN SENI BANGSA : SILAT GAYONG GERAK SERENTAK


Makin ramai anak bangsa Melayu yang melupakan seni mempertahankan diri. Silat adalah warisan tulen bangsa Melayu. Kewujudan bermula sejak sebelum pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Oleh itu, Unit Kokurikulum telah mengambil langkah untuk menggerakkan seni silat di SMK Semerah. Justeru itu pada 9 Oktober 2011, upacara suai kenal dijalankan antara pihak sekolah, para pelajar yang berminat dan Pertubuhan Silat Gayong Gerak Serentak Malaysia (PGSM). Pertubuhan ini dipilih kerana pertubuhan seni mempertahankan diri ini adalah antara yang aktif dan berdaftar dengan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dan undang-undang pertubuhan (No Pendaftaran : 0546-98) serta sering memenangi pertandingan di peringkat daerah mahupun negeri.
En Zaini Chorong, Guru Utama 

Menurut En Ismail bin Jais, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Semerah, penubuhan silat ini akan membuka peluang baru kepada para pelajar yang berminat dalam arena seni mempertahankan diri. Tambahan pula aktiviti kokurikulum silat ini juga terdapat di peringkat IPT. Sementara itu, dalam sesi suaikenal tersebut, En Zaini bin Chorong, Guru Utama PGSM menjelaskan kepentingan seni bela diri  dalam meneruskan seni budaya bangsa Melayu. Ramai yang sudah tidak mementingkan seni bela diri bangsa sedangkan ianya berupaya mendisiplinkan diri dan mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya mengaplikasikan ilmu persilatan untuk mempertahankan diri. Beliau yang juga Pengerusi Teknik Silat Seni daerah Batu Pahat mengharapkan warga Semerah menyahut cabaran untuk meneruskan seni budaya bangsa agar terus diamalkan oleh bangsanya sendiri.
Dengan penubuhan silat ini, para pelajar akan dapat menaikkan nama sekolah dalam arena silat olahraga di peringkat daerah khususnya dan ke peringkat yang lebih tinggi amnya. Menurut En Hashim bin A. Ghani, guru penasihat silat, SMK Semerah memang pernah ada aktiviti silat dan pernah menjuarai kategori seni tempur kategori bawah 18 pada 2008 dan seringkali menyertai pertandingan pada peringkat daerah Batu Pahat dan pertandingan terbuka sekitar Batu Pahat. Menurutnya lagi, penubuhan pada kali ini adalah penjenamaan semula dengan pertubuhan yang baru. Harapan beliau agar ada pelajar yang akan berjaya mengharumkan SMK Semerah dalam acara silat olahraga untuk tahun depan.
Pasukan Pesilat Semerah Ke Pertandingan MSSD Pada Tahun 2009
Semoga penubuhan  semula silat ini akan menyemarakkan lagi nilai seni budaya bangsa dan memantapkan ilmu persilatan sebagai wadah kecemerlangan insan. Harapan pihak sekolah agar lebih ramai para pelajar mengikuti aktiviti kokurikulum ini sebagai salah satu landasan dalam  melengkapkan diri dalam aspek seni mempertahankan diri, mendisiplinkan diri dan memantapkan aspek kerohanian. Moga penubuhan semula persatuan silat ini akan mencapai objektifnya.

No comments:

Post a Comment