24 September, 2018

SEMERAH KIAN MENYERLAH DI PERSADA : BOLA SEPAK, BOLA JARING DAN SOFBOL



Dari kiri : En Halim, En Hilmi dan En Azhar 

Tiga permainan yang melibatkan penyertaan warga SMK Semerah telah melakar kejayaan iaitu permainan bola sepak, bola jaring dan sofbol. Hebat ! Zon Semerah sekali lagi mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut apabila merangkul kejuaraan bola jaring dan bola sepak dalam Pertandingan Sukan Kakitangan Pegawai Pendidikan (PSKPP) Daerah Batu Pahat pada 7-8 September 2018.
          Kejohanan tahunan ini juga mempertaruhkan permainan sepak takraw, boling, bola tampar, dan memanah. Pasukan bola sepak Zon Semerah telah dibarisi oleh 5 orang pemain (guru) dari SMK Semerah iaitu En Hafiz, En Hilmi, En Halim, En Azhar dan En Razif. Selaku penyandang juara,
Semerah bermula agak hambar apabila seri 0-0 dengan Senggarang namun bangkit membenam Pintas Puding 1-0. Seterusnya menumbangkan Penggaram 1-0 juga untuk layak ke separuh akhir. 
Pada separuh akhir, Semerah menumpaskan Yong Peng 1-0 dalam aksi yang mencemaskan apabila beberapa pemain mengalami kecederaan akibat terjahan kasar pihak lawan.  Namun demikian, kemenangan Semerah tersekat di perlawanan akhir dengan keputusan 0-0 sehingga berlanjutan ke masa tambahan.
          Pada masa inilah, penjaga gol Semerah, En Hilmi berjawa menyelamatkan 3 sepakan penalti dan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-1. Dengan keputusan ini, Zon Semerah mengekalkan kejuaraan.  
          Dalam pada itu, Pn Norsaedah Jamal dari SMK Semerah telah mewakili pasukan bola jaring Zon Semerah. Beliau berjaya membantu pasukan Zon Semerah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut apabila menumbangkan Zon Pintas Puding 15-5 dalam perlawanan akhir. Zon Semerah telah mendominasi hampir semua perlawanan yang melibatkan Zon Semerah. Tempat ketiga dimenangi oleh Zon Ayer Hitam yang menumpaskan Zon Senggarang 12-7.
          Zon Semerah juga merangkul juara permanan sepak takraw dalam PSKPP. Tahniah kepada semua pemenang. Kemenangan ini mampu membuka mata kepada para pelajar bahawa guru-guru SMK Semerah memang ada ketokohan dalam sukan dan permainan. 
             
Dari kanan, Nur Amelia dan Aisyah Adila

Sementara itu, arena sofbol pula menyerlahkan pencapaian dan penglibatan pelajar SMK Semerah apabila 2 orang pelajar telah dipilih mewakili Politeknik Pagoh ke Pertandingan Liga Sofbol Politeknik di Port Dickson pada 2-5 September 2018. Aisyah Adila bt Sabiran dan Nur Amelia bt Rasidin telah mengharumkan nama SMK Semerah kerana telah membantu Politeknik Pagoh menduduki tempat ke-3 dalam pertandingan tersebut. Walaupun saiz mereka kecil namun kehebatan mereka terserlah apabila menjadi pemain utama pasukan tersebut. Kejayaan ini amat membanggakan pihak sekolah. Moga kejayaan ini akan menjadi titik tolak kepada pencapaian permainan sukan yang lebih cemerlang.
          Syabas kepada para guru dan para pelajar yang berjaya menobatkan SMK Semerah di persada.

No comments:

Post a Comment