13 July, 2011

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE-38



Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) SMK Semerah Kali Ke-38 telah diadakan pada 14 Julai 2011 yang lalu. Kejohanan ini telah berjaya merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan. Kejohanan yang menyaksikan pertandingan antara 6 buah rumah sukan ini telah dirasmikan oleh oleh Yang Berhormat, Datuk Ariss Samsudin, ADUN Semerah.
Kedatangan beliau bukan sahaja telah berjaya menyuntik semangat para pelajar,  malah para ibu bapa juga telah berkumpul sejak dari awal pagi menyambut kedatangan beliau dengan upacara gilang-gemilang. Beliau  menerima tabik hormat daripada 6 buah rumah sukan yang bertanding iaitu, Laksamana, Nakhoda, Panglima, Syahbandar, Bendahara dan Temenggung.  Perarakan perbarisan diketuai oleh Ketua Perbarisan, Ahmad Syafik bin Sapary. Ahmad Syafik telah diberi penghormatan mengetuai perbarisan kerana beliau telah berjaya membantu negeri Johor menjadi naib johan bola baling pada peringkat MSSM dan berjaya ke peringkat negeri dalam permainan kriket serta aktif dalam olahraga pada peringkat daerah.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Datuk Ariss Samsudin terharu atas undangan perasmian sukan olahraga. Menurutnya lagi, SMK Semerah bukanlah asing baginya kerana kerap memperolehi undangan, namun undangan untuk sukan amat jarang. Kesempatan ini beliau mengharapkan SMK Semerah akan terus cemerlang dalam bidang sukan dan permainan. Datuk Ariss Samsudin juga amat berbangga dengan pencapaian sukan olahraga dan permainan SMK Semerah.
Hujan yang turun sebaik sahaja selesai majlis perasmian tidak mencacatkan kemeriahan kejohanan.  Datuk Ariss Samsudin juga meninjau lokasi gelanggang serbaguna yang agak daif yang memerlukan penaiktarafan gelanggang tersebut. Gelanggang tersebut masih lagi digunakan untuk pengajaran PJK, permainan dalam dewan seperti bola jaring, futsal dan bola baling, malah sering digunakan pada waktu petang untuk aktiviti riadah dan digunakan juga untuk aktiviti kemasyarakatan. Melihatkan perkara itu dan keprihatinan beliau sebagai ADUN Semerah, beliau berjanji akan membantu menaiktarafkan gelanggang tersebut.  
Dalam pada itu, Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Semerah berjaya berjalan dengan lancar walaupun hujan lebat selama 30 minit. Sebaik sahaja hujan teduh, acara olahraga pun dimulakan. Rumah sukan Laksamana yang dipimpin oleh En Dzulkarnain Mohd Fadzil dan Pn Suhada Sohot berjaya dinobatkan sebagai johan olahraga setelah berjaya memintas Nakhoda pada saat-saat akhir. Diikuti Syahbandar yang tiba-tiba mencantas Bendahara dan Panglima untuk menduduki tempat ketiga. Sementara itu, Temenggung akhirnya akur dengan kehebatan rumah lain apabila menduduki tempat terakhir walaupun sebelum ini berjaya menjadi johan dalam Sukantara.
Majlis penutupan kejohanan dilakukan oleh En Radzali Ahmad, Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran SMK Semerah.  Beliau berbangga dengan semangar juang para peserta dan mengharapkan pada tahun depan prestasi olahraga sekolah akan terus meningkat dan cemerlang.

No comments:

Post a Comment