28 November, 2018

AISYAH ADILA DAN NUR ASHIKIN MENYERLAH DI PERSADA SOFBOL : JDT JOHAN LAGI

Walaupun bertubuh kecil namun tidak menjadi  masalah besar kepada dua wakil SMK Semerah iaitu Aisyah Adila bt Sabiran dan Nur Ashikin bt Sahrul yang telah memainkan peranan besar kepada  pasukan sofbol perempuan Johor Darul Takzim (JDT) sehingga berjaya mengekalkan kejuaraan dalam Kejohanan Sofbol Bawah 16 Tahun MSSM yang diadakan di Kolej Vokasional Batu Pahat dari 25 – 27 November 2018.
Aisyah Adila yang bertindak sebagai kapten pasukan telah bermain dalam posisi 3rd base manakala Nur Ashikin pula memenuhi out field (pemadang luar). JDT memulakan langkah bergaya apabila menang selesa ke atas Selangor C 10-2 dan membenam Perak 22-0 untuk melangkah ke suku akhir.  Seterusnya menewaskan satu lagi rakan pasukan negeri iaitu Johor A 12-8 untuk mara ke separuh akhir.
Pada peringkat separuh akhir, ada tentangan awal pasukan Selangor A ke atas JDT namun JDT berjaya mengekang tentangan hebat sehingga berjaya memenangi perlawanan tersebut 9-2 untuk mara ke perlawanan akhir. Akhirnya buku bertemu ruas apabila perlawanan akhir menemukan Harimau Selatan dengan team Tok Gajah
Perlawanan akhir dijalankan sebanyak 7 inning.  Kedua-dua pasukan saling tidak memberikan larian sehinggalah pada inning ketiga barulah JDT memperoleh 3 larian. Pasukan Pahang terus mengasak JDT dengan pukulan-pukulan yang disasarkan ke out field namun kecekapan para pemain pemadang luar JDT yang diketuai oleh Nur Ashikin telah menggagalkan asakan tersebut. Kealpaan Pahang mengasak akhirnya dihukum apabila JDT memperolehi 3 larian lagi pada 2 inning terakhir. Pahang yang semakin terdesak terus mencuba untuk menafikan kemenangan JDT pada saat akhir dan akhirnya Pahang berjaya juga memperoleh 2 larian. Namun Pahang tidak kesampaian untuk menyekat JDT. Pelari terakhir Pahang yang cuba mendapatkan larian ke home telah ditag (disentuh) oleh Aisyah Adila dan perlawanan akhir berakhir dengan keputusan 6-2. Dengan itu, JDT pun dinobatkan sebagai johan sofbol kategori perempuan pada tahun ini iaitu johan buat kali kedua-dua berturut dalam 3 penampilan di perlawanan akhir.

Sementara itu, kategori lelaki dimenangi oleh pasukan Pahang yang menewaskan Selangor 4-3 dalam perlawanan akhir.  Syabas kepada pasukan-pasukan yang bertanding yang telah menunjukkan kualiti permainan yang cemerlang.  Tahniah kepada JDT serta Aisyah Adila dan Nur Ashikin. Sememangnya Semerah menyerlah di persada.


Team  Sofbol JDT Bawah 16 Tahun 
Dari kiri : Tn Hj Hashim, Aisyah Adila dan Nur Ashikin