29 April, 2010

HOKI MENGEKALKAN PENCAPAIAN 2009


Khamis, 29 April 2010. SMK Semerah sekali lagi mengulangi pencapaian tahun lepas dengan kejayaan pasukan hoki menduduki tempat ke-3 pada Pertandingan Hoki Bawah 18 Tahun MSSD Batu Pahat yang diadakan di Stadium Hoki UTHM pada 28 - 29 April 2010. Pertandingan pada tahun ini dikelolakan oleh SMK Datin Onn Jaafar.
Dengan seramai 16 orang pemain dan 4 pegawai yang diketuai oleh En Azhar Ghafar, En Halim Samad dan En Abu Bakar Ali sebagai jurulatih/pengurus serta dibantu oleh En Hashim A Ghani, team ini giat berlatih sejak berakhirnya latihan olahraga.
Dengan misi untuk ke final tidak kesampaian kerana disekat oleh SMK Dato' Bentara (SMKDBL) pada separuh akhir dalam perlawanan yang dikuasai oleh SMK Semerah dan perlawanan berakhir dengan SMK Semerah tewas 0-1 kepada SMK DBL. Namun team hoki bangkit untuk menduduki tempat ke-3 dengan menewaskan SMK Dato' Syed Esa dengan jaringan 1-0 yang bermain sehingga 'golden goal' setelah tamat masa sebenar.
Pertandingan hoki kategori lelaki dimenangi oleh SMK Dato' Bentar Luar, naib johan disandang oleh SMK Senggarang dan ke-4 diduduki oleh SMK Dato Syed Esa. Sementara itu, SMK Senggarang memenangi kategori perempuan, naib johan ialah SMK Seri Medan, ketiga ialah SMK Banang Jaya dan keempat dirangkul oleh SMK Datin Onn Jaafar.
Penyampaian pingat dan hadiah disempurnakan oleh Tn Hj Daud Tukiman, Pengetua SMK Datin Onn Jaafar. Kepada team hoki, tahun depan kita berusaha lagi untuk misi ke final. Buktikan kita boleh !
 

25 April, 2010

KARNIVAL SUKAN PERMAINAN 2010



Ledang, 26 April. Sembilan (9) jenis permainan dihimpunkan dalam aktiviti Karnival Sukan dan Permainan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2010 telah diadakan di Ledang pada 23 - 25 April 2010. Bola baling, sepak takraw, ping pong, sofbol, tenis, memanah, bola keranjang, ragbi dan badminton adalah permainan yang dijalankan. Para peserta dan pegawai pasukan ditempatkan di Kolej Matrikulasi Tangkak, Ledang manakala para pengadil menginap di SMK Tun Mamat. Seramai 3500 orang peserta dan kira-kira 500 pegawai terlibat dalam karnival ini. Memanah, tenis dan badminton dijalanakan di Kolej Matrikulasi Tangkak manakala permainan lain dijalankan di sekolah-sekolah berhampiran.
Memang meriah karnival tersebut berjalan. Inilah kali pertama aktiviti sukan permainan yang melibatkan 9 jenis permainan diadakan serentak. Kelihatan sejumlah besar bas dan kereta memenuhi kawasan kolej dan 'bandar tekstil' selama 3 hari. Penyampaian pingat dan hadiah disampaikan di tempat pertandingan dijalankan. Paling akhir pertandingan ialah sofbol. Sofbol dijalankan di SMK Seri Tangkak .
Dalam pada itu, seramai 3 orang pelajar SMK Semerah telah mewakili Batu Pahat ke karnival tersebut. Umu Haziqah Abu Bakar menyertai team sofbol manakala Mohd Ilham Abd Rahman dan Rozita Abd Wahid menyertai kontijen memanah. Tahniah kepada mereka khususnya Mohd Ilham mendapat emas acara Olimpic Rounders (3 sepasukan) dan Umu Haziqah kerana membantu Batu Pahat menjadi naib johan P18.

 Bagi pertandingan sofbol, pasukan Batu Pahat menjadi naib johan perempuan 18, ketiga lelaki 12 dan keempat perempuan 12. Bagi P18, Batu Pahat memulakan langkah bergaya dengan membenam Kota Tinggi 12-1, membelasah Pontian 18-5 pada peringkat kumpulan. Kemudian menang menentang Kulai Jaya 5-4 dalam perlawanan yang dramatik dan sengit. Pada peringkat semi final, P18 Batu Pahat menumbangkan Muar 19-5. Namun, pada perlawanan akhir tewas 11-14 Pasir Gudang dalam perlawanan yang sengit walaupun mendahului 11-10 pada inning terakhir. 10 minit terakhir barulah Batu Pahat tewas.
Karnival Sukan Permainan ini telah ditutup rasmi oleh Tn Hj Markom Giman, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor. Jam 6.00 petang, semua kenderaan yang membawa peserta dan pegawai meninggalkan 'bandar tekstil' dan bandar Ledang kembali seperti biasa. Kepada pasukan yang menang, tahniah diucapkan. Pasukan yang kalah, tahun depan cuba lagi. Syabas kepada pihak penganjur yang berjaya mengelolakan karnival tersebut. Tahun depan berjumpa lagi.

Team P18 Batu Pahat : Naib johan
Barisan tengah dari kiri : En Faizal, En Meshafizam, En Hashim dan Pn Raha

21 April, 2010

KRIKET MENERUSKAN KECEMERLANGAN : NAIB JOHAN 2010

Nampaknya pasukan kriket menduduki tempat kedua (naib johan) pada tahun ini. Menang bergaya pada hari pertama dengan menewaskan SMK Dato Syed Esa (82-81) dan membenam SMK Tun Ismail (100-49) larian. Malangnya tewas mengejut dengan johan tahun lepas SMK Dato Onn (45-106) dan kemudian bangkit semula membelasah tuan rumah SMK Seri Medan, (91-31) larian. Nasib tidak menyebelahi SMK Semerah. Tahun 2008, pasukan kriket menduduki tempat ke-4, 2009 mendapat tempat ke-3 dan 2010 ini hanya merangkul naib johan sahaja.
Pasukan kriket ini dilatih oleh En Hashim dan En Faiza manakalau pengurus pasukan ialah En Faiza dengan dibantu oleh En Abu Bakar dan En Norzaihan. Pertandingan Kriket MSSD Batu Pahat ini dikelolakan oleh SMK Seri Medan ini diadakan pada 20- 21 April 2010. Tahniah kepada team yang menang. Kepada team kriket SMK Semerah, kita jangan mengalah. Teruskan berlatih. InsyaAllah tahun depan piala milik kita kerana kita bakal juara !

16 April, 2010

NASIB TIDAK MENYEBELAHI TEAM SOFBOL SEMERAH

Walaupun menang bergaya dalam perlawanan pertama menentang SMK Tunku Mahmood Iskandar 7-5. Satu perlawanan yang dramatik, namun nasih tidak menyebelahi SMK Semerah. SMK Tunku Mahmood Iskandar akhirnya berjaya juga masuk ke semi final setelah mereka menewaskan SMK Dato' Sulaiman 11-5. Manakala SMK Semerah tewas mengejut kepada SMK Dato' Sulaiman 6-17. Itulah pertandingan namanya, ada yang menang dan ada yang tewas.
Pertandingan Sofbol LP 18 Tahun MSSD Batu Pahat telah diadakan di SMK Tunku Mahmood Iskandar pada 14 - 15 April 2010. Sebanyak 8 pasukan lelaki dan 9 pasukan perempuan yang bertanding. Team SMK Semerah diketuai oleh En Hamizan Mohd Khir, Pn Haryati Katemin dan Pn Hasralda Abu Hassn sebagai pengurus manakala En Hashim A Ghani dan Pn Noor Nazira Maliki sebagai jurulatih. Pasukan sofbol Semerah ini telah disandarkan bakal johan untuk kategori P15 tahun. Malangnya, kategori P15 ditiadakan pada saat-saat akhir akibat perubahan takwim sukan daerah dan negeri. Mahu tak mahu terpaksalah team ini dihantar juga dengan bermatlamatkan memenangi satu perlawanan. Kalau masuk ke peringkat semi final adalah bonus.
Johan lelaki dimenangi oleh SM Teknik dan SMK Convent merangkul johan kategori perempuan. Kepada para pemain, tahun depan kita cuba lagi, Teruskan berusaha dan dapatkan kemahiran serta pengalaman dalam bermain. InsyaAllah kejayaan adalah milik anda satu hari nanti.

                                                                                                                  

SEPAK TAKRAW REGU TERBUKA

Sabtu, 17 April 2010. Kerjasama dan kotmitmen guru penasihat Kelab Sepak Takraw yang diterajui oleh En Hasbi Mohd Nor, En Roslan Mohamad, En Hashim A Ghani, Tn Hj Yusof Sarmaet dan En Saipol Bahri, akhirnya telah berjaya merealisasikan  Pertandingan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka pada 16 - 17 April di Gelanggang Sepak Takraw SMK Semerah. Dengan berobjektifkan mencari bakat-bakat baru, sebanyak 8 pasukan telah mendaftar. Sistem liga dua kumpulan dijalankan. Ahli-ahli kelab membantu guru-guru mengelolakannya termasuk membuat line, mengurus regu, menyediakan air minuman, mendapatkan pengadil dan banyak lagi.
                                                                                                                                                                     

                               

     Ramai pelajar yang dapat melihat pertandingan malah pada hari kedua ada penjaga yang datang memberikan sokongan kepada anaknya. Fenomena ini merupakan perkembangan yang baik untuk meningkatkan prestasi sepak takraw di Semerah. Aksi-aksi menarik ditunjukkan pada dua hari tersebut, khususnya gaya para pelibas. Sorakan gemuruh apabila pelibas menerima umpanan daripada apit. Namun demikian, belum ada lagi aksi servis kuda. Mungkin pertandingan akan datang, para tekong akan memberikan aksi servis kuda pulak...siapa tahu !

Johan dirangkul oleh regu S.T. Geng. Naib johan disandang oleh regu Seroja. Ketiga dimenangi oleh Nakhoda dan tempat keempat ialahh regu Triple Man. Hadiah kepada pemenang akan disampaikan pada hari perhimpunan 19 April 2010. Terima kasih kepada semua pemain, ahli kelab, ibu bapa yang datang, pihak Unit Kokurikulum, guru-guru dan pihak-pihak yang membantu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam mengurus dan mengelolakan pertandingan ini. InsyaAllah fasa kedua untuk mencari bakat akan diadakan sebelum bulan Ramadhan dengan fokus utama ialah pencarian bakat untuk Piala Warisan dan pasukan L15 tahun depan.






10 April, 2010

PERTANDINGAN RAGBI MSSD BATU PAHAT

Scrummm...Tackle...Line...Begitulah kedengaran suara jeritan di padang SMK Semerah ketika berlangsungnya Pertandingan Ragbi Lelaki Bawah 18 Tahun MSSD Batu Pahat 2010. Tahun ini 8 pasukan menyertainya iaitu SMK Tun Ismail, SMK Yong Peng, SMK Tunku Putra, SM Teknik Batu Pahat, SMK Tinggi Batu Pahat, SMK Seri Medan, MRSM dan SMK Munsyi Sulaiman. Tuan rumah tidak menyertainya, hanya mengelolakannya...tahun depan kot ada team ragbi! Namun demikian, para pelajar kelas PJPK banyak menonton pertandingan tersebut. Dapatlah mereka mendapat gambaran permainan. Nampak macam senang, tetapi sebenarnya susah juga merebut satu bola ragbi. Sekejap wisel ditiup, sekejap scrumm. Permainan ragbi adalah permainan yang kasar tetapi disiplinnya tetap ada.
Berikut adalah keputusan perlawanan :



Johan dimenangi olah SMK Tun Ismail. Naib johan disandang oleh SMK Munsyi Sulaiman, SMK Tinggi Batu Pahat menduduki tempat ketiga dan tempat ke-4 dimenangi oleh SMK Yong Peng. Tahniah kepada para pasukan yang menang. Majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tn Hj Adam bin Abu, Pengetua SMK Semerah. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjaya dan mengelolakan pertandingan tersebut. Kita jumpa lagi pada tahun 2011.


Johan L18 : SMK Tun Ismail

06 April, 2010

TEAM SOFBOL JUNIOR VS TEAM SOFBOL SENIOR

Satu perlawanan persahabatan sofbol (bola lisut) antara SMK Semerah dengan SK Seri Utama telah diadakan pada 6 April 2010 di padang SMK Semerah. Tujuannya untuk membantu SK Seri Utama menghadapi Pertandingan Sofbol Bawah 12 Tahun yang akan diadakan pada 9 April 2010 di SK Pintas Puding. Sementara itu, bagi team SMK Semerah adalah persediaan untuk Pertandingan Sofbol Bawah 18 Tahun yang akan diadakan pada 14-15 April 2010 di SMK Tunku Mahmood Iskandar. Team ini disediakan sasaran JOHAN pada tahun 2010 bagi kategori bawah 15 tahun yang sepatutnya di pada bulan Jun, tetapi saat akhir pertandingan peringkat bawah 15 tahun telah ditiadakan. Apa kan daya! Oleh itu team ini akan bertandinga untuk peringkat bawah 18 tahun. Terima kasih kepada En Iddie Muhaimin kerana menjadi umpire...anda memang berbakat..teruskan usaha. Semoga berjaya kepada SK Seri Utama, kekalkan kejuaraaan untuk kali ketiga berturut-turut. Anda memang hebat! Tahun depan pergi ke SMK Semerah ye...jangan lupa! Kami menunggu anda semua!

OLAHRAGA MSSD BATU PAHAT 2010


Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Batu Pahat Tahun 2010 telah diadakan pada 29 Mac - 1April 2010. Kontijen olahraga 2010 memulakan hari pertama yang memberangsangkan dengan mengutip 1 emas dan 1 gangsa. Pada hari kedua, pungutan pingat agak suram dengan 4 gangsa, kembali cerah pada hari ketiga dengan memperoleh 1 emas,1 perak dan 2 gangsa dan hari keempat memperoleh 1 gangsa lagi. Jadi keseluruhannya SMK Semerah memperoleh kutipan pingat 2 emas, 1 perak dan 8 gangsa. Mengagumkan!
Dengan doa dan iringan serta usaha bersungguh-sungguh melalui latihan intensif 3 minggu sejak tamat olahraga sekolah. Musim cuti juga para atlet tetap berlatih. Stamina, kecergasan, drill dan taktikal diterapkan semasa sesi latihan. Namun demikian, latihan olahraga secara berkala telah dimulakan sejak awal Februari iaitu pada hari Rabu dan Khamis setiap minggu.
Tahun ini ketua jurulatih dipikul oleh En Azhar Abd Ghafar dengan dibantu oleh En Hashim A Ghani. Juga khidmat setia latihan juga dijalankan oleh En Abd Halim Abd Samad (jurulatih balapan), En Abu Bakar (motivasi dan balapan), En Hasbi Mohd Nor dan En Roslan Mohamad (jurulatih padang), juga Pn Zamilah Ekhwan serta krew sokongan lain iaitu Cik Norul Rafidah Redzuan (data & ICT), Cik Nornida Sapuan dan Cik Hasralda Abu Hassn (caperon) serta Cik Koh Siu Teen (fisioterapi). Pengurus pasukan ialah En Noimpendi Abu Bakar dan penolongnya ialah Cik Diyana Dalila Zulkifli.
Tahniah kepada Mohd Sobri Azwan Aziz yang merangkul emas ke-2 untuk acara 1500m L13 dengan catatan rekod baru yang memadamkan rekod 13 tahun. Juga kepada Nor Fazlin Shahdan. Berikut adalah pecahan pingat yang diperolehi oleh SMK Semerah :-
Emas :    P 13 - Lompat Jauh Nor Fazlin Shahdan
              L 13 -1500m Mohd Sobri Azwan Aziz
Perak :   L 15 - 3000m Mohd Azwan MesniGangsa : P 13 -1500m Nor Azua Maulad Paiman
              P 15 -1500m Nur Haffizah Zakaria
              P 18 - Pentathlon Nur Hidayah Abd Hamid
              P 18 - Pentathlon Nur Suria Abd Rahim
              L 15 - 3000m Mohd Azwan Mesni
              L 15 - 400m Mohd Faris Firdaus
              L 18 - Heptathlon Mohd Said Mohd Sani
              L 18 - Heptathlon Mohd Helmy Siman
Tahniah kepada para pemenang pingat. Juga terima kasih dan syabas juga kepada semua atlet yang mengambil bahagian kerana berlatih bersungguh-sungguh. Tahun depan anda boleh bangkit kembali.Keseluruhan SMK Semerah menduduki tempat ke-13 daripada 28 sekolah yang bertanding. Semoga tahun 2011 akan merubah kedudukan dan melonjakkan prestasi kepada 7 terbaik keseluruhan. InsyaAllah.