30 August, 2008

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA

Hari ini genaplah 51 tahun negara Persekutuan Tanah Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat negara kita mengecapai kebebasan daripada unsur kolonial yang bermula dari era Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Pada masa itu, Sabah dan Sarawak belum masuk Persekutuan Tanah Melayu. Gabungan Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu melahirkan gagasan Malaysia pada 16 September 1963. Namun demikian tarikh 31 Ogos juga telah dipilih untuk meraikan Hari Kemerdekaan negara Malaysia; satu simbolik kejayaan rakyat negara ini membebaskan diri daripada zaman penjajahan.
Oleh itu, Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan Selamat Hari Merdeka Ke-51 kepada semua pelajar dan rakyat Malaysia. Sisipkan dalam dada dan sanubari erti kemerdekaan. Kemerdekaan bukan dapat digapai dalam tempoh masa yang singkat. Merdeka memerlukan pengorbanan; ramai yang telah berkorban harta dan benda, malah ada yang terkorban. Merdeka memerlukan perjuangan. Demi masa depan bangsa, agama dan negara, bersama-sama kita meraikannya. Laungkanlah MERDEKA. Perpaduan Teras Kejayaan.

29 August, 2008

PEMILIHAN PESERTA KE PIALA WARISAN

Kini telah sah bahawa Pertandingan Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan dan Semerah akan diadakan pada 9 Oktober 2008 di MRSM Batu Pahat. Pertandingan tersebut bakal disertai oleh 5 buah sekolah sekitar Parlimen Parit Sulong iaitu SMK Semerah, SMK Penghulu Saad, SMK Dato'Onn, SMK Darto' Sulaiman dan MRSM.
Pertandingan ini melibatkan 4 permainan iaitu bola sepak dan sepak takraw untuk lelaki manakala bola jaring dan bola baling untuk perempuan. Mesyuarat berkaitan telah diadakan pada 26 Ogos 2008 di Bilik Mesyuarat MRSM.
Justeru itu, untuk memantapkan penyertaan pada tahun ini, SMK Semerah mengadakan pemilihan pemain pada 28 dan 29 Ogos 2008. Agihan tugas pegawai telah diedarkan. Jurulatih dan penolong jurulatih telah turun untuk menentukan calon-calon yang disenaraipendekkan untuk mewakili sekolah pada pertandingan tersebut. En Hafiz, En Hasbi, En Hashim, Cik Saedah dan Cik Nornida telah turun padang untuk proses pemilihan pemain-pemain. Pemilihan bola sepak dijalankan oleh En Hafiz, sepak takraw oleh En Hasbi, bola jaring oleh Cik Saedah dan Cik Nornida manakala En Hashim memilih pemain-pemain bola baling.
Kembali sahaja dari cuti Hari Raya Puasa, para pelajar yang telah terpilih mewakili sekolah akan menjalani latihan insentif dari Isnin hingga Rabu. Khamis, 9 Okt 2008 adalah hari perlawanan. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat berlatih kepada para pelajar yang terpilih mewakili sekolah. Tanamkan azam untuk berjuang demi sekolah. Anda boleh berjaya! Selamat bertarung dan selamat berpuasa dalam bulan Ramadan.

19 August, 2008

BADMINTON HANYA MERANGKUL PERAK

Malaysia hanya memperoleh pingat perak untuk acara perseorangan badminton Sukan Olimpik. Wirawan dan wirawati negara belum mampu merobek kekentalan Tembok Besar China untuk mengecapi pingat. Namun dengan berkat kesungguhan pemain badminton negara, Lee Chong Wei, kita akhirnya mendapat pingat perak apabila beliau tewas pada perlawanan akhir menantang jaguh China, Lin Dan.
Lee Chong Wei tidak mampu menahan asakan bertubi-tubi daripada Lin Dan dari China. Chong Wei tidak mempamerkan strategi serangan pantas melawan Lin Dan. Smash pancung tidak kelihatan. Gaya Chong Wei tidak seperti perlawanan separuh akhir. Jurulatih Misbun telah berusaha mengubah taktik pada separuh masa kedua namun Lin Dan lebih menampakkan kesungguhan untuk mengucup emas pada kali ini.
Bergu yang dikatakan bergu emas iaitu Koo Kian Keat dan Tan Boon Heong juga tersungkur pada suku akhir. Apa dah jadi dengan permainan mereka!
Permainan lain masih lagi belum mencapai taraf dunia. Tetapi kita pasti para peserta kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan pada peringkat tertinggi sukan dunia. Mungkin satu hari nanti kita boleh, seperti moto keramat Malaysia Boleh.

11 August, 2008

SUKANROBIK DAERAH BATU PAHAT



Pada 5 Ogos 2008 (Selasa), pasukan sukanrobik telah menyertai Pertandingan Sukanrobik Daerah Batu Pahat yang diadakan di BP Mall. Pertandingan ini adalah anjuran oleh JKD PJPK dan dikelolakan oleh SMK (P) Temengung Ibrahim. Pasukan sukanrobik SMK Semerah dianggotai oleh 8 orang peserta yang diketuai oleh saudara Amar bin Rahim dan dilatih oleh Cik Noor Nazira bt Maliki, Pn Zamilah bt Ekhwan dan En Hashim bin A Ghani.

Sebelum pertandingan, satu pertandingan peringkat dalaman telah diadakan. Peserta yang terpilih adalah mereka yang berkebolehan dalam sukanrobik ini. Justeru itu, mereka telah berlatih selama 3 minggu. Kerja keras mereka amat dikagumi. Harapan yang menggunung telah diberikan kepada pasukan ini. Ramai pelajar yang memuji corak persembahan mereka dan mereka mulai minat untuk menyertai latihan sukanrobik pada masa akan datang.

Semua sekolah menengah telah menyertai pertandingan ini. Namun demikian, nasib tidak menyebelahi SMK Semerah. Johan diungguli oleh SMK Tun Ismail, naib johan ialah SMK Tunku Mahmood Iskandar, tempat ketiga ialah SMK Seri Gading dan SMK Kolam Air menduduki tempat ke-4.

Upacara penyampaian hadiah dan penutupan rasmi dilakukan oleh En Mohsin Ibrahim, Penolong PPD Daerah Batu Pahat. Semoga tahun hadapan SMK Semerah akan terus berjuang untuk mendapat tempat terbaik dalam pertandingan sukanrobik. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat maju jaya, teruskan berusaha.