31 March, 2011

HOKI MERANGKUL NAIB JOHAN

Jumaat, 1 April 2011. Dramatik dan mendebarkan. Penalti stroke menyebabkan pasukan lelaki SMK Semerah tewas 1-3 kepada SMK Tinggi Batu Pahat dalam perlawanan akhir Pertandingan Hoki L/P Bawah 18 Tahun MSSD Batu Pahat yang diadakan di SMK Dato’ Bentara Luar dari 30 – 31 Mac 2011. Perlawanan sengit tersebut berkedudukan seri 1-1 memaksa permainan ‘suddent death’ diadakan dan masih berkeputusan seri juga.
Dalam peringkat kumpulan, badi seri bermula dengan SMK Tinggi Batu Pahat yang berkesudahan 1-1 dan mengikat SMK Seri Medan 0-0. Kemudian bangkit mengejutkan naib johan tahun lepas SMK Senggarang 1-0. Sebagai juara kumpulan B, SMK Semerah menewaskan tuan rumah SMK Dato’ Bentara Luar 3-2 (penalti stroke) pada peringkat semi final setelah kedudukan 0-0. Tambahan masa ‘suddent death’ masih tidak menjelmakan ‘golden goal’.
Bagi pasukan perempuan SMK Semerah tewas 0-2 dengan SMK Senggarang dan 0-1 dengan SMK Seri Medan dan hanya mencatat seri 0-0 dengan TIGS.
Sementara itu, tempat ketiga lelaki dimenangi oleh SMK Banang Jaya yang menewaskan SMK Dato’ Bentara Luar. Sementara itu, SMK Banang Jaya merangkul johan kategori perempuan setelah mengalahkan SMK Seri Medan 1-0 dalam masa suddenth death. Diikuti SMK Penghulu Saad yang menduduki tempat ketiga dan TIGS mendapat tempat keempat.
Sesungguhnya kejayaan merangkul naib johan adalah kemenangan yang diidamkan oleh para pemain yang telah berlatih bersungguh-sungguh sejak sebulan lalu. Ucapan penghargaan kepada En Azhar bin Ghafar sebagai ketua jurulatih yang dibantu oleh En Abdul Halim bin Abdul Samad dan En Hashim bin A. Ghani. Juga terima kasih kepada En Azrizal Aizat, Cik Norul Rafidah bt Redzuan dan Cik Norhuda yang membantu melatih team perempuan. Semoga tahun depan kita akan menjadi juara pula ! Kepada team perempuan, ayuh, bangkitlah kuatkan semangat, tingkatkan kemahiran dan terapkan permainan pantas untuk mengungguli hoki perempuan. Kita boleh dan Semerah boleh.

25 March, 2011

OLAHRAGA : MEMBANGGAKAN, MENCAPAI MISI

Sabtu, 26 Mac 2011. Arena olahraga di daerah Batu Pahat telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan rasmi Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Batu Pahat 2011 pada petang semalam. Kejohanan yang berlangsung selama 4 hari dari 22-25 Mac 2011 itu telah ditutup rasmi oleh Tn Hj Shapie bin Hj Mohd Shariff, Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat.
Kontijen SMK Semerah yang menghantar seramai 38 orang atlit dan 13 pegawai pasukan telah sedaya upaya memberikan cabaran untuk menandingi sekolah-sekolah lain. Emas pertama diperolehi dalam acara 1500 meter P15 oleh Nurhafizah bt Zakaria telah memberikan perangsang kepada atlit lain untuk menyumbangkan lebih banyak kilauan emas. Namun hajat untuk menggondol tambahan emas tidak kesampaian sungguhpun beberapa pingat perak dan gangsa diperolehi pada hari kedua dan ketiga. Justeru itu sekali lagi Nurhafizah menyumbangkan emas kedua dalam acara 3000 meter P15.  Kejayaan dan kegigihan beliau amat membanggakan sekolah. Tahniah juga kepada para penyumbang pingat, Mohd Sobri (perak 1500 meter dan 3000 meter L15), gangsa dimenangi oleh Nurhidayah Abd Hamid (pentathlon), Siti Shaza Amira (rejam lembing P13) dan Mohd Fakrul (1500 meter L15). Juga terima kasih kepada para atlit yang tidak kesampaian menyumbangkan pingat dan mata kepada pihak sekolah, kerana anda juga kebanggaan sekolah sebab anda terpilih daripada ratusan pelajar di SMK Semerah.
Akhirnya SMK Semerah merangkul 2 emas, 2 perak dan 3 gangsa dengan 46 mata telah menduduki tempat ke-14 daripada 28 buah sekolah, suatu peningkatan berbanding 17 pada tahun lepas. Tahniah kepada para atlit dan para pegawai. Semoga pencapain tahun ini akan menjadikan para jurulatih beriltizam untuk mengorak langkah berlatih awal untuk pencapaian cemerlang pada tahun 2012 kelak. Latihan awal dan berterusan akan mengubah kedudukan SMK Semerah dalam arena olahraga di daerah Batu Pahat. Semoga kita berjaya !

Nurhafizah bt Zakaria : 2 emas (1500m dan 3000m P15)

Mohd Sobri bin Aziz, 2 perak (1500m dan 3000m L15)

23 March, 2011

TERIMA KASIH SINAR HARIAN, TAHNIAH CALON SPM, TERUSKAN PARA ATLIT

Rabu, 23 Mac 2011. Unit Sukan amat berbesar hati mengucapkan terima kasih kepada akhbar Sinar Harian yang menyiarkan berita mengenai kejayaan team bola baling SMK Semerah yang menjuarai Pertandingan Bola Baling MSSD Batu Pahat. Moga akhbar Sinar Harian akan menyiarkan lagi berita-berita berkaitan SMK Semerah amnya dan info mengenai sukan khususnya. Terima kasih kami ucapkan.
Unit Sukan juga mengucapkan tahniah kepada calon-calon SPM 2010 yang telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Anda memang berhak untuk mendapat keputusan tersebut dan teruskan melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Keputusan tahun 2010 meningkat. Syabas kepada semua guru yang bertungkus lumus menaikkan peratusan SPM. Tahniah sekali lagi kepada para pelajar yang berjaya.
Unit Sukan juga mengucapkan 'bravo' kepada atlit yang telah menyumbangkan pingat dan mata kepada sekolah dalam Kejohanan Balapan dan Padang. Sehingga ke hari kedua ini, SMK Semerah telah meraih 1 emas, 2 perak dan 3 gangsa. Teruskan berjuang untuk baki dua hari. Kepada jurulatih-jurulatih dan pegawai pasukan, jangan putus asa, kita boleh dan Semerah Boleh.

20 March, 2011

PERTARUNGAN BERMULA, AYUH BUKTIKAN SEMERAH BOLEH !


Isnin, 21 Mac 2011. Esok bermula Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-44 MSSD Batu Pahat. Buktikan anda boleh !Dengan latihan intensif semasa cuti dan latihan awal sebelum cuti, atlit seramai 38 orang akan bersaing dengan sekolah-sekolah lain untuk membuktikan siapa jagohan olahraga daerah Batu Pahat.
Dengan diketuai oleh En Tumian bin Jasman, Guru Penolong Kokurikulum dan En Noimpendi bin Abu Bakar sebagai pengurus pasukan, kontijen ini berazam untuk membaiki pencapaian tahun lepas. Kesungguhan para jurulatih En Azhar bin Ghafar (ketua jurulatih), En Hashim bin A Ghani, En Azrizal Aizat dan En Abdul Halim sebagai jurulatih balapan, En Hasbi bin Mohd Nor, En Roslan dan Cik Nornida bt Sapuan dan Cik Hasralda bt Abu Hassn sebagai jurulatih padang serta dibantu oleh Cik Norul Rafidah sebagai koordinator ICT dan Pendaftaran, Cik Siti Meriam bt Hassin dan Cik Koh Siu Teen sebagai caperon, di samping bantuan logistik oleh En Hafiz bin Mohd Zaid dan Tn Hj Yusof bin Sarmaet, kontijen ini tidak menoleh belakang lagi untuk terus memacu ke hadapan untuk mengegar pada temasya kali ini.
Moga kita doakan kita berjaya pada kali ini. Teruskan. Fight till end ; Never surrender.

17 March, 2011

LATIHAN INTENSIF KONTIJEN OLAHRAGA

Tiada cuti nampaknya kepada para jurulatih dan atlit olahraga sekolah. Pengorbanan tidak bercuti seperti rakan-rakan sejawatan yang lain amat disanjung tinggi. Tanpa mereka siapalah kontijen olahraga sekolah. Mereka juga berazam menaikkan nama dan imej sekolah pada peringkat daerah. Cuma bidang dan tempatnya tidak sama, namun fokus dan misi tetap sama.
Demi sekolah, selama 5 hari pagi dan  petang, jurulatih dan atlit giat berlatih demi untuk kecemerlangan pencapaian olahraga dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Batu Pahat dari 21-24 Mac 2011 di Stadium Jalan Ampuan, Batu Pahat. Hari ini, semua atlit berlatih di stadium untuk mencuba trek sebenar di stadium. Menurut salah seorang jurulatih En Hasbi, penyesuaian atlit di stadium penting agar mereka selesa dan tidak kekok ketika hari pertandingan sebenar.
Kepada atlit, teruskan berusaha dan berlatih dengan lebih gigih lagi. Kepada guru-guru yang beriltizam dan bermotivasi tinggi iaitu En Azhar, En Hashim, En Hasbi, En Halim, En Hafiz, Cik Nornida dan Cik Norul Rafidah. Kepada jurulatih yang akan kembali ke padang setelah bercuti, khidmat anda amat diiperlukan. Moga misi kita berjaya!

PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW ANTARA REGU : BAKAT DICARI

Sabtu, 12 Mac 2011. Program mencungkil bakat pemain sepak takraw diteruskan oleh Kelab Sepak Takraw dengan menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Antara Regu. Pertandingan dijalankan secara liga dua kumpulan. Dengan berobjektifkan pencarian bakat dan memilih para pemain untuk mewakili regu sekolah ke peringkat daerah. Ruang depan Bilik Guru dipenuhi oleh para pelajar yang melihat pertandingan dari tingkat satu.
Kebajikan para pemain dijaga dengan pihak kelab menyediakan minuman dan bihun goreng. Kelihatan En Hasbi bin Mohd Nor dan En Roslan bin Mohamad serta En Hashim bin A. Ghani tetap bersemangat memerhati bakat-bakat baru. Menurut En Hasbi Mohd Nor yang juga guru penasihat Kelab Sepak Takraw, pertandingan ini mampu mencungkil bakat khususnya para pelajar Tingkatan 1 untuk dilatih secara intensif.
Sejumlah 10 pasukan bertanding secara liga dua kumpulan. Pertandigan semi final akan diadakan selepas nak cuti nanti.Tunggu. Moga pencapaian sepak takraw akan ditingkatkan. Semerah Boleh.

10 March, 2011

BOLA BALING L18 : JUARA BERGAYA



Juara L18 Batu Pahat
Excellent. Kehebatan terserlah. Menang bergaya. Itulah antara kata-kata yang boleh diberikan kepada pasukan bola baling lelaki SMK Semerah atas kejayaan menjuarai kategori lelaki Pertandingan Bola
Baling L/P 18 Tahun MSSD Batu Pahat. Pertandingan yang dikelolakan oleh SM Vokasional Batu Pahat dijalankan pada 9-10 Mac 2011. SMK Semerah menghantar juga pasukan perempuan. namun mereka tersekat pada pusingan awal dengan kalah kepada SMK Seri Medan 1-4, SMK Seri Gading 1-3 dan seri 1-1 dengan SMK Tun Aminah.
Kekalahan pasukan perempuan tidak melemahkan semangat pasukan lelaki. Sirna keunggulan pasukan ini bermula dengan menewaskan SMK Senggarang 5-4 dalam perlawanan pantas dan lasak. Langkah diteruskan dengan menumpaskan musuh tradisi SMK Tun Ismail 3-2. SMK Semerah membenam SMK Dato' Onn 6-3 dengan para pemain beraksi dalam hujan.
Dengan status johan kumpulan C, SMK Semerah terus memburu tempat ke semi final dengan menumbangkan SMK Munsyi Sulaiman 5-3 dalam permainan sengit. Pada peringkat semi final, pasukan ini membalas dendam lama dengan mengejutkan SMK Datuk Menteri 2-1 dalam aksi serang-menyerang yang mendebarkan antara kedua-dua belah pasukan.
Dalam final, SMK Semerah menyerlahkan keunggulannya dengan mendahului 5-3 pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, para pemain terus mengganas dengan menjaringkan 7 gol, sekaligus melenyapkan impian SMK Dato' Onn dengan kemenangan bergaya 12-4. SEMERAH JOHAN ! Johan kategori perempuan dimenangi oleh SMK Penghulu Saad buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut En Hashim, pasukan ini telah dibentuk sejak 3 tahun yang lepas dengan misi untuk menjuarai bola baling pada peringkat daerah. Pasukan ini adalah naib juara kategori Lelaki 15 pada tahun 2009 dan berjaya ke suku akhir pada tahun lepas pada kategori Lelaki 18 tahun. Maka tahun ini, sasarannya ialah untuk menjadi johan, tambah En Hashim lagi.
Tahniah kepada para pemain dan para pegawai pasukan, Cik Norul Rafidah bt Redzuan, Cik Nornida bt Sapuan dan Cik Hasralda bt Abu Hassn, teruskan melatih team perempuan. Syabas kepada En Hashim A. Ghani selaku jurulatih dengan dibantu-urus oleh En Roslan bin Mohamad dan En Ahmad Hamizan bin Mohd Khir yang membimbing team lelaki menjadi johan pada tahun ini.Tahniah. SEMERAH BOLEH !