12 December, 2008

XPDC Ke Taman Negara Selai, Bekok

Pada 18-20 Oktober 2008, Panitia PJPK telah menganjurkan XPDC Ke Taman Negara Selai, Bekok. XPDC ini disertai oleh 40 orang pelajar Tingkatan 3, 4, dan 6R serta diiringi oleh 8 orang guru iaitu En Hashim, En Halim, En Roslan, En Hafiz, En Zaad, Pn Zamilah, Cik Nornida dan Cik Nazira.
Objektif program adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai hutan dan persekitarannya, meningkatkan kecergasan fizikal dan minda serta menyemai jati diri di kalangan para peserta. Hari pertama bermulalah cabaran iaitu laluan bukit berliku dan cuaca hujan namun tidak mematahkan semangat membara para peserta. Ilmu perhutanan seperti memasak makanan dalam daun, teknik menghidupkan api dan sebagainya dicurahkan oleh fasilitator pada petang hari pertama.
Pada hari kedua, cabaran mendaki ditempuhi oleh semua peserta. Penat lelah mereka terubat setelah menemu lokasi air terjun. Apa lagi mereka begitu takjub melihat keindahan dan kesejukan air terjun. Kepenatan mengharungi denai dan hutan rimba serta serangan pacat seolah-olah hilang apabila aktiviti air dijalankan di kawasan air terjun tersebut. Pada malamnya para peserta menunjukkan bakat dalam aktiviti pertandingan memasak dengan mempraktikkan ilmu memasak menggunakan daun. Ikan diperoleh dari sungai berdekatan. Rupanya mereka semua berbakat dalam masakan. Guru-guru lelaki pula pergi berburu manakala guru-guru perempuan menjadi hakim pertandingan masakan.
Hari ketiga adalah aktiviti santai dengan lebih banyak aktiviti air seperti berkayak, berenang dan permainan air. Para peserta XPDC amat teruja dengan program ini. Tahun depan buatlah lagi.
Terima kasih atas kerjasama semua peserta, guru-guru pengiring, para fasilitator, pihak taman negara dan pihak sekolah.

14 October, 2008

Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan, Semerah dan Maresma

Khamis, 9 Oktober 2008. Lima buah sekolah di kawasan parlimen Parit Sulong telah bertanding dalam satu acara tahunan iaitu Pertandingan Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan dan Semerah Kali Ke-25. Pada tahun ini, MRSM Batu Pahat telah mengelolakan pertandingan tersebut.
Kontijen SMK Semerah telah disertai oleh 48 orang pelajar dengan diiringi oleh 16 orang pegawai. Skuad bola sepak diketuai oleh En Hafiz bin Mohd Zaid sepak takraw oleh En Hasbi Md Nor, bola jaring pula diketuai oleh Cik Norsaedah bt Jamal manakala skuad bola baling oleh Cik Noor Nazira bt Maliki. Sementara itu, team boling diketuai oleh En Mohd Zaad bin Hisham sebagai pengurus team dan disertai oleh 10 orang guru.
Berkat semangat juang yang tinggi, SMK Semerah telah menduduki tempat ke-4 keseluruhan. Pasukan bola baling menjadi naib johan Piala Semerah, pasukan bola jaring menduduki tempat ke-4 Piala Wawasan, team sepak takraw hanya berjaya dalam peringkat kumpulan manakala pasukan bola sepak menduduki tempat ke-4, Sementara itu, team boling guru-guru mendapat tempat ke-4 dan ke-6 dengan En Amir Hamzah merangkul tempat ke-3 keseluruhan kategori individu lelaki manakala Cik Siti Meriam bt Hasin menduduki tempat ke-4 keseluruhan kategori individu perempuan.
Pingat dan piala disampaikan oleh Pn Hjh Norzan bt Mohd Akib, Pengetua MRSM yang seterusnya menutup rasmi kejohanan tersebut. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta-peserta SMK Semerah yang menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam penyertaan ke pertandingan tersebut. Juga terima kasih kepada guru-guru yang membimbing dan melatih para peserta. InsyaAllah, tahun depan SMK Semerah akan bangkit semula dengan misi menjuarai kejohanan tersebut.

30 August, 2008

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA

Hari ini genaplah 51 tahun negara Persekutuan Tanah Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat negara kita mengecapai kebebasan daripada unsur kolonial yang bermula dari era Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Pada masa itu, Sabah dan Sarawak belum masuk Persekutuan Tanah Melayu. Gabungan Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu melahirkan gagasan Malaysia pada 16 September 1963. Namun demikian tarikh 31 Ogos juga telah dipilih untuk meraikan Hari Kemerdekaan negara Malaysia; satu simbolik kejayaan rakyat negara ini membebaskan diri daripada zaman penjajahan.
Oleh itu, Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan Selamat Hari Merdeka Ke-51 kepada semua pelajar dan rakyat Malaysia. Sisipkan dalam dada dan sanubari erti kemerdekaan. Kemerdekaan bukan dapat digapai dalam tempoh masa yang singkat. Merdeka memerlukan pengorbanan; ramai yang telah berkorban harta dan benda, malah ada yang terkorban. Merdeka memerlukan perjuangan. Demi masa depan bangsa, agama dan negara, bersama-sama kita meraikannya. Laungkanlah MERDEKA. Perpaduan Teras Kejayaan.

29 August, 2008

PEMILIHAN PESERTA KE PIALA WARISAN

Kini telah sah bahawa Pertandingan Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan dan Semerah akan diadakan pada 9 Oktober 2008 di MRSM Batu Pahat. Pertandingan tersebut bakal disertai oleh 5 buah sekolah sekitar Parlimen Parit Sulong iaitu SMK Semerah, SMK Penghulu Saad, SMK Dato'Onn, SMK Darto' Sulaiman dan MRSM.
Pertandingan ini melibatkan 4 permainan iaitu bola sepak dan sepak takraw untuk lelaki manakala bola jaring dan bola baling untuk perempuan. Mesyuarat berkaitan telah diadakan pada 26 Ogos 2008 di Bilik Mesyuarat MRSM.
Justeru itu, untuk memantapkan penyertaan pada tahun ini, SMK Semerah mengadakan pemilihan pemain pada 28 dan 29 Ogos 2008. Agihan tugas pegawai telah diedarkan. Jurulatih dan penolong jurulatih telah turun untuk menentukan calon-calon yang disenaraipendekkan untuk mewakili sekolah pada pertandingan tersebut. En Hafiz, En Hasbi, En Hashim, Cik Saedah dan Cik Nornida telah turun padang untuk proses pemilihan pemain-pemain. Pemilihan bola sepak dijalankan oleh En Hafiz, sepak takraw oleh En Hasbi, bola jaring oleh Cik Saedah dan Cik Nornida manakala En Hashim memilih pemain-pemain bola baling.
Kembali sahaja dari cuti Hari Raya Puasa, para pelajar yang telah terpilih mewakili sekolah akan menjalani latihan insentif dari Isnin hingga Rabu. Khamis, 9 Okt 2008 adalah hari perlawanan. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat berlatih kepada para pelajar yang terpilih mewakili sekolah. Tanamkan azam untuk berjuang demi sekolah. Anda boleh berjaya! Selamat bertarung dan selamat berpuasa dalam bulan Ramadan.

19 August, 2008

BADMINTON HANYA MERANGKUL PERAK

Malaysia hanya memperoleh pingat perak untuk acara perseorangan badminton Sukan Olimpik. Wirawan dan wirawati negara belum mampu merobek kekentalan Tembok Besar China untuk mengecapi pingat. Namun dengan berkat kesungguhan pemain badminton negara, Lee Chong Wei, kita akhirnya mendapat pingat perak apabila beliau tewas pada perlawanan akhir menantang jaguh China, Lin Dan.
Lee Chong Wei tidak mampu menahan asakan bertubi-tubi daripada Lin Dan dari China. Chong Wei tidak mempamerkan strategi serangan pantas melawan Lin Dan. Smash pancung tidak kelihatan. Gaya Chong Wei tidak seperti perlawanan separuh akhir. Jurulatih Misbun telah berusaha mengubah taktik pada separuh masa kedua namun Lin Dan lebih menampakkan kesungguhan untuk mengucup emas pada kali ini.
Bergu yang dikatakan bergu emas iaitu Koo Kian Keat dan Tan Boon Heong juga tersungkur pada suku akhir. Apa dah jadi dengan permainan mereka!
Permainan lain masih lagi belum mencapai taraf dunia. Tetapi kita pasti para peserta kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan pada peringkat tertinggi sukan dunia. Mungkin satu hari nanti kita boleh, seperti moto keramat Malaysia Boleh.

11 August, 2008

SUKANROBIK DAERAH BATU PAHAT



Pada 5 Ogos 2008 (Selasa), pasukan sukanrobik telah menyertai Pertandingan Sukanrobik Daerah Batu Pahat yang diadakan di BP Mall. Pertandingan ini adalah anjuran oleh JKD PJPK dan dikelolakan oleh SMK (P) Temengung Ibrahim. Pasukan sukanrobik SMK Semerah dianggotai oleh 8 orang peserta yang diketuai oleh saudara Amar bin Rahim dan dilatih oleh Cik Noor Nazira bt Maliki, Pn Zamilah bt Ekhwan dan En Hashim bin A Ghani.

Sebelum pertandingan, satu pertandingan peringkat dalaman telah diadakan. Peserta yang terpilih adalah mereka yang berkebolehan dalam sukanrobik ini. Justeru itu, mereka telah berlatih selama 3 minggu. Kerja keras mereka amat dikagumi. Harapan yang menggunung telah diberikan kepada pasukan ini. Ramai pelajar yang memuji corak persembahan mereka dan mereka mulai minat untuk menyertai latihan sukanrobik pada masa akan datang.

Semua sekolah menengah telah menyertai pertandingan ini. Namun demikian, nasib tidak menyebelahi SMK Semerah. Johan diungguli oleh SMK Tun Ismail, naib johan ialah SMK Tunku Mahmood Iskandar, tempat ketiga ialah SMK Seri Gading dan SMK Kolam Air menduduki tempat ke-4.

Upacara penyampaian hadiah dan penutupan rasmi dilakukan oleh En Mohsin Ibrahim, Penolong PPD Daerah Batu Pahat. Semoga tahun hadapan SMK Semerah akan terus berjuang untuk mendapat tempat terbaik dalam pertandingan sukanrobik. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat maju jaya, teruskan berusaha.

video

30 July, 2008

Malaysia Hebat

Itulah yang boleh diperkatakan tentang prestasi Malaysia ketika menentang Chelsea. Walaupun tewas namun kita boleh berbangga sekurang-kurangnya menafikan spekulasi umum bahawa Malaysia akan diratah oleh Chelsea. Persembahan mengagumkan kerana boleh bersaing dengan kelab ternama di dunia.
Kemampuan negara kita mengekang serangan pemain Chelsea amat dibanggakan. Kita tewas dengan keputusan 0-2 tetapi kita tewas dengan bermaruah. Teruskan Malaysia. Kalau kita tidak meyokong negara kita, siapa lagi!

28 July, 2008

Malaysia VS Chelsea

Malam ini adalah penentuan pertemuan Malaysia menentang kelab Chelsea. Keputusannya boleh dijangka pemenangnya. Tetapi kita perlu mengharapkan sokongan rakyat terhadap pasukan kebangsaan. Memang jauh panggang dari api untuk menang kerana prestasi dan imej kita dibandingkan dengan Chelsea umpama langit dengan bumi.
Namun demikian, semangat juang para pemain akan memberikan kita semangat agar pemain-pemain Malaysia terus berjuang. Janganlah kita asyik mengingat nama Frank Lampard, Deco atau John Terry tetapi sengaja melupakan Shukor Adan, Aidil Zaquan atau Eddy Helmi. Mereka juga perlu pengiktirafan. Kalau kita tidak menyokong pasukan kita, siapakah lagi...tak kan rakyat Bangaldesh atau Pakistan yang akan memberi sokongan kepada pasukan Malaysia.
Marilah kita terus menyokong pasukan negara.

Kursus Peningkatan Profesionalisme

Panitia PJPK telah menghantar beberapa orang guru untuk menyertai beberapa kursus dan bengkel untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini adalah inisiatif JKD PJPK Daerah Batu Pahat yang telah mengelolakan 3 kursus dan 1 pertandingan.

Kursus Pengajaran dan Pembelajaran PJPK telah diadakan di SMK Tinggi Batu Pahat 25 dan 26 Jun 2008. Kursus ini disertai oleh En Hasbi bin Mohd Nor dan En Hashim bin A Ghani. Sementara itu Bengkel Senamrobik telah diadakan di SMK Tun Ismail pada 11 dan 12 Julai 2008. Bengkel ini disertai oleh Pn Zamilah bt Ekhwan dan En Hashim bin A Ghani manakala Kursus Gimnastik telah diadakan di SMK Dato' Bentara Luar pada 16 Julai 2008 yang disertai oleh Pn Zamilah bt Ekhwan dan En Hashim bin A Ghani.

Semua aktiviti tersebut ditutuprasmi oleh Tn Hj Fauzan, Pengetua SMK Dato' Syed Esa selaku Pengerusi JKD PJPK Daerah Batu Pahat.

29 June, 2008

SILAT TERUS MAJU

Persatuan Silat SMK Semerah telah menyertai Pertandingan Silat Seni dan Olahraga pada 19 & 20 Jun 2008 di SMK Tinggi Batu Pahat. Seramai 16 orang pesilat dengan diiringi oleh En Hashim bin A. Ghani, En Hafiz bin Mohd Zaid, Pn Fadzilah bt Mahadi dan Pn Yuthanis bt Ithnin pada pertandingan yang berlangsung selama 2 hari itu.
Berkat kesungguhan, semangat juang yang tinggi dan keberanian para pesilat, maka SMK Semerah telah menggondol johan silat olahraga kategori C yang dimenangi oleh Saifullah bin Musa dan tempat ke-3 silat olahraga perempuan kategori C yang dimenangi oleh Siti Aisha bt Ali. Unit Sukan mengucapkan sakalung tahniah atas kejayaan tersebut.

16 May, 2008

PESTA BOLA BALING DAN BOLA TAMPAR MSSJ

Nampaknya SMK Semerah tidak ketandusan bakat. Seorang pelajar telah mewakili daerah Batu Pahat ke Kejohanan Bola Tampar MSSM Negeri Johor di Tangkak pada 9 - 11 Mei 2008. Sementara itu, seramai 4 orang pelajar SMK Semerah telah mewakili daerah Batu Pahat ke Kejohanan Bola Baling MSSM Negeri Johor pada 9 - 11 Mei 2008 di SM Sains, Muar. Para pemain tersebut ialah Nurul Izzatie bt Hashim (P15), Siti Nurhaniz Asyikin bt Marsan dan Siti Farahain (P18) dan Saiful Amri bin Samlawi (L15). Mereka diiringi oleh En Hashim bin A Ghani yang juga Setiausaha Sukan SMK Semerah dan Pn Zamilah bt Ekhwan yang menjadi pengurus P15 manakala En Hashim menjadi pengurus L18.
Namun demikian, daerah Batu Pahat memenangi tempat ke-3 P15 dan naib johan L12. Yang menjadi kebanggaan Unit Sukan ialah Saiful Amri telah terpilih mewakili negeri Johor ke peringkat MSS Malaysia di Melaka dalam Karnival Sukan yang dijadualkan diadakan pada cuti sekolah nanti. Tahniah.

SELAMAT DATANG UTHM

Assalammualaikum w.b.t. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat datang ke SMK Semerah kepada Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (KOR SUKSIS) 2008 UTHM sempena Program Operasi Khidmat Masyarakat yang dijalankan pada 17 - 23 Mei 2008.
Pihak Unit Sukan SMK Semerah berbesar hati menerima kehadiran para sukarelawan. Justeru itu, pihak kami akan membantu dalam program senamrobik, futsal dan bola jaring di samping berkerjasama dengan pihak Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam program motivasi.
Senamrobik akan dijalankan pada pukul 8 pagi hari Ahad 18 Mei di padang SMK Semerah. Manakala Pertandingan Futsal dan Bola Jaring akan diadakan pada 20 Mei (Rabu) juga di padang SMK Semerah.
Semoga kehadiran para KOR SUKSIS akan memberikan suntikan kepada para pelajar dan masyarakat setempat supaya lebih melibatkan diri dalam hal ehwal kemasyarakatan. Terima kasih diucapkan.

23 April, 2008

PESTA PERMAINAN

Salam sejahtera kepada semua pelajar dan tetamu blog ini. InsyaAllah, Unit Sukan SMK Semerah akan menganjurkan Pesta Permainan pada tahun ini. Masanya dijadualkan pada bulan Julai ini.
Pesta Permainan ini terbuka kepada pelajar Tingkatan Satu mengikut rumah sukan. Permainan yang terlibat ialah bola jaring dan bola baling untuk para pelajar perempuan dan permainan bola sepak dan sepak takraw untuk para pelajar lelaki.
Antara tujuan pesta ini adalah untuk menyediakan pasukan SMK Semerah ke Piala Warisan pada hujung tahun 2008 dan prapersediaan pasukan untuk tahun 2009 pada kategori bawah 15 tahun.
Kepada semua pelajar Tingkatan Satu, tunggu masa tersebut. Sekian, terima kasih.

PASUKAN BOLA TAMPAR MENCUBA NASIB

Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. SMK Semerah akan menghantar satu pasukan bola tampar ke Pertandingan Bola Tampar Bawah 18 Tahun MSSMNJ Daerah Batu Pahat Tahun 2008 yang dijadualkan diadakan pada 29 April 2008 di Sekolah Tinggi Hwa Jin.
Pasukan tersebut dianggotai oleh 8 orang pemain. Latihan intensif telah diadakan sejak awal bulan Mac lagi. Pasukan ini merupakan para pemain yang telah memenangi naib johan pada Pertandingan Bola Tampar Bawah 15 Tahun pada tahun lepas.
Mudah-mudahan pasukan bola tampar SMK Semerah ini akan mencapai sasarannya tahun ini iaitu layak ke akhir.

17 April, 2008

PERTANDINGAN BOLA BALING BAWAH 18 TAHUN MSSMNJ DAERAH BATU PAHAT TAHUN 2008

Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Alhamdulilah SMK Semerah telah berjaya mengelolakan Pertandingan Bola Baling Bawah 18 Tahun MSSMNJ Daerah Batu Pahat Tahun 2008 pada 15-16 April 2008 di padang SMK Semerah.
Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 13 pasukan perempuan telah menyertai pertandingan tersebut. Pada peringkat kumpulan dan suku akhir, masa perlawanan ialah 10:3:10 manakala pada peringakat separuh akhir dan final dijalankan dalam masa 15:5:15.
Keputusan pertandingan kategori lelaki dimenangi oleh SMK Tun Ismail (johan), SMK Dato' Onn (naib johan), SMK Penghulu Saad (ke-3) dan SMK Tunku Mahmood Iskandar (ke-4). Pingat Penjaring Terbanyak Lelaki dimenangi oleh Muhammad Razy bin Rohani dari SMK Tun Ismail. Beliau juga memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Bagi kategori perempuan pula dimenangi oleh SMK (P) Temenggung Ibrahim (johan), SMK Penghulu Saad (naib johan), SMK Tun Ismail (ke-3) dan tuan rumah, SMK Semerah mendapat ke-4. Pingat Penjaring Terbanyak Perempuan dirangkul oleh Nur Ziza bt Misnon dari SMK (P) Temenggung Ibrahim manakala Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dimenangi oleh Nur Ezzati bt. Hamid dari SMK (P) Temenggung Ibrahim.
Perasmian penutupan dilakukan oleh Tn Hj Adam bin Abu, pengetua SMK Semerah dan penyampaian pingat disampaikan oleh Tn Hj Ali bin Ahmad, Penyelia Sukan PPD Batu Pahat.
Pihak Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan dan mengelolakan pertandingan tersebut. Kepada Jawatankuasa Pengelola, Pengerusi Teknik, rakan pengadil, pasukan-pasukan, dan pihak-pihak lain, sekalung terima kasih diucapkan.