23 April, 2008

PESTA PERMAINAN

Salam sejahtera kepada semua pelajar dan tetamu blog ini. InsyaAllah, Unit Sukan SMK Semerah akan menganjurkan Pesta Permainan pada tahun ini. Masanya dijadualkan pada bulan Julai ini.
Pesta Permainan ini terbuka kepada pelajar Tingkatan Satu mengikut rumah sukan. Permainan yang terlibat ialah bola jaring dan bola baling untuk para pelajar perempuan dan permainan bola sepak dan sepak takraw untuk para pelajar lelaki.
Antara tujuan pesta ini adalah untuk menyediakan pasukan SMK Semerah ke Piala Warisan pada hujung tahun 2008 dan prapersediaan pasukan untuk tahun 2009 pada kategori bawah 15 tahun.
Kepada semua pelajar Tingkatan Satu, tunggu masa tersebut. Sekian, terima kasih.

PASUKAN BOLA TAMPAR MENCUBA NASIB

Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. SMK Semerah akan menghantar satu pasukan bola tampar ke Pertandingan Bola Tampar Bawah 18 Tahun MSSMNJ Daerah Batu Pahat Tahun 2008 yang dijadualkan diadakan pada 29 April 2008 di Sekolah Tinggi Hwa Jin.
Pasukan tersebut dianggotai oleh 8 orang pemain. Latihan intensif telah diadakan sejak awal bulan Mac lagi. Pasukan ini merupakan para pemain yang telah memenangi naib johan pada Pertandingan Bola Tampar Bawah 15 Tahun pada tahun lepas.
Mudah-mudahan pasukan bola tampar SMK Semerah ini akan mencapai sasarannya tahun ini iaitu layak ke akhir.

17 April, 2008

PERTANDINGAN BOLA BALING BAWAH 18 TAHUN MSSMNJ DAERAH BATU PAHAT TAHUN 2008

Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Alhamdulilah SMK Semerah telah berjaya mengelolakan Pertandingan Bola Baling Bawah 18 Tahun MSSMNJ Daerah Batu Pahat Tahun 2008 pada 15-16 April 2008 di padang SMK Semerah.
Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 13 pasukan perempuan telah menyertai pertandingan tersebut. Pada peringkat kumpulan dan suku akhir, masa perlawanan ialah 10:3:10 manakala pada peringakat separuh akhir dan final dijalankan dalam masa 15:5:15.
Keputusan pertandingan kategori lelaki dimenangi oleh SMK Tun Ismail (johan), SMK Dato' Onn (naib johan), SMK Penghulu Saad (ke-3) dan SMK Tunku Mahmood Iskandar (ke-4). Pingat Penjaring Terbanyak Lelaki dimenangi oleh Muhammad Razy bin Rohani dari SMK Tun Ismail. Beliau juga memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Bagi kategori perempuan pula dimenangi oleh SMK (P) Temenggung Ibrahim (johan), SMK Penghulu Saad (naib johan), SMK Tun Ismail (ke-3) dan tuan rumah, SMK Semerah mendapat ke-4. Pingat Penjaring Terbanyak Perempuan dirangkul oleh Nur Ziza bt Misnon dari SMK (P) Temenggung Ibrahim manakala Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dimenangi oleh Nur Ezzati bt. Hamid dari SMK (P) Temenggung Ibrahim.
Perasmian penutupan dilakukan oleh Tn Hj Adam bin Abu, pengetua SMK Semerah dan penyampaian pingat disampaikan oleh Tn Hj Ali bin Ahmad, Penyelia Sukan PPD Batu Pahat.
Pihak Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan dan mengelolakan pertandingan tersebut. Kepada Jawatankuasa Pengelola, Pengerusi Teknik, rakan pengadil, pasukan-pasukan, dan pihak-pihak lain, sekalung terima kasih diucapkan.