10 February, 2014

SEMERAH UNGGUL JUARAI KRIKET KALI KETIGA

Mohd Nor Hakim, Bowlers Terbaik dan Batsman Terbaik
Mohd Lutfi, Pemain Terbaik

Juara buat kali ketiga
SMK Semerah unggul apabila menjuarai Pertandingan Kriket Daerah Batu Pahat bagi tahun 2014. Inilah kali ketiga berturut-turut Semerah menjadi johan permainan kriket kategori bawah 18 tahun setelah berjaya menjadi johan pada tahun 2012 dan 2013. Pertandingan yang disertai oleh 10 pasukan ini dijalankan di SMK Dato’ Syed Esa pada 5 dan 6 Februari yang lepas.
Pasukan Semerah yang diketuai oleh En Mohd Faiza dan Tn Hj Hashim sebagai jurulatih serta En Mohd Norzaihan sebagai pengurus, memulakan langkah dengan menundukkan musuh tradisi SMK Tun Ismail 58-57 larian.
Pada perlawanan kedua, pasukan Semerah yang diketuai oleh Mohd Alif Najmi sebagai kapten dengan penuh bergaya menewaskan SMK Senggarang B 32-29 larian. Semerah terus mengganas apabila membelasah pasukan pendatang baru, SMK Datin Onn Jaafar 117-22 larian pada perlawanan ketiga. Pada perlawanan terakhir kumpulan pasukan kriket Semerah hanya menggunakan 2 orang pemukul dalam 5 overs sahaja untuk membenam pasukan tuan rumah SMK Dato Syed Esa A dengan larian 34-33.
Pasukan Semerah yang dibarisi oleh para pemain tahun lepas membenam pula SM Sains Batu Pahat pada peringkat separuh akhir. Dalam pada perlawanan akhir, Semerah berjaya menewaskan SMK Senggarang A 81-67 larian. Kejayaan ini menjadikan SMK Semerah mengungguli arena kriket daerah Batu Pahat buat kali ketiga berturut-turut. Keunggulan  Semerah sekali lagi terserlah apabila memenangi 3 piala iringan iaitu Bowlers Terbaik dan Batsman Terbaik yang dimenangi oleh Mohd Nor Hakim Rusdan. Manakala, Mohd Lutfi pula memenangi anugerah Pemain Terbaik. Pingat dan piala disampaikan oleh Pn Hjh Jam’iyah Darmawan, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Dato’ Syed Esa.
Sementara itu, menurut Tn Hj Hashim, kejayaan pasukan kriket menjuarai untuk 3 tahun berturut-turut membuktikan kejayaan program pembangunan sukan kriket sejak dijalankan pada 2008. Latihan awal telah diadakan sejak cuti persekolahan tahun lepas dan latihan itensif dilakukan sejak awal tahun ini. Terbukti kejayaan pasukan kriket akan meningkat nama Semerah dalam persada kriket di peringkat daerah.




No comments:

Post a Comment