25 April, 2019

SOFBOL SEMERAH KEMBALI MENYERLAH DI PERSADA

          
Setelah 2 tahun menduduki tempat ke-3, pasukan perempuan sofbol SMK Semerah kembali mengungguli pentas final pada tahun ini 2019 apabila membenam Kolej Vokasional Batu Pahat 16-0. Ini adalah pencapaian johan buat kali ketiga dalam masa 5 tahun selepas merangkul johan berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016. Pertandingan yang diadakan pada 22-24 April 2019 di Kolej Vokasional Batu Pahat melibatkan 8 pasukan lelaki dan 10 pasukan perempuan.
          Pasukan sofbol SMK Semerah diketuai oleh Tn Hj Hashim sebagai Ketua Jurulatih dengan dibantu oleh En Hilmi Hafiz (fitness coach) dan En Iddi Muhaimin (bating coach) serta diperkuat oleh En Musa (fielding coach) dan En Johari Andasir (pitcher coach) manakala En Ahmad Hamizan dan Cik Hasralda membantu hal pengurusan, logistik dan kebajikan team.
Team Semerah bermula garang apabila membelasah SMK Dato’ Seth 17-0, seterusnya menewaskan SMK Yong Peng 16-0. Kemaraan Semerah tidak berjaya disekat  oleh Kolej Vokasional apabila menang18 larian berbalas 3 seterusnya menjuarai Kumpulan F.
         
Dalam pada itu, undian yang tidak menyebelahi Semerah apabila diundi bersama finalis 2018, SMK (P) Temenggung Ibrahim (TIGS) dan pasukan yang sedang meningkat naik iaitu SMK Seri Medan. Sungguhpun demikian, Semerah tidak gentar apabila menang tipis ke atas TIGS dalam aksi yang mendebarkan. Inilah final yang sebenarnya ! Buku bertemu ruas. Pada perlawanan yang mendebarkan itu, Rabiatun memperolehi larian untuk menyamakan 1-1 sehingga inning ke-3. Namun pada inning ke-4, Semerah memperolehi 2 larian menerusi Aisyah Adibah yang menggantikan Elmy Nuraini dan Nurul Syazwani yang berjaya memukul bola sehingga ke padang luar (out field).
         
Tersentak dengan asakan itu, TIGS menggandakan serangan apabila berjaya meletakkan 3 pelari (runner) dalam padang (diamond). Nurin Afiqah yang menggantikan pitcher utama, Nuradlena berjaya menggagalkan serangan TIGS apabila pemadang Semerah yang diketuai oleh Pelajar Ikon Sukan Semerah, Aisyah Adila dengan dibantu oleh Nur Asikin berjaya mematikan 3 pemukul dan pelari TIGS dan keputusan berakhir Semerah menang 3-2.
          Kemaraan Semerah tidak dapat disekat lagi apabila menumbangkan SMK Seri Medan 16-0 untuk melangkah ke final kategori perempuan untuk bertemu semula dengan Kolej Vokasional. Dalam aksi final yang berat sebelah, sekali lagi Semerah membelasah Kolej Vokasional 16-0. Dengan itu gawang Semerah hanya 5 kali dibolosi pihak lawan sepanjang pertandingan berlangsung. Tahniah SMK Semerah.
          Dalam pada itu, kategori lelaki diungguli oleh SMK Dato Syed Esa yang menewaskan SMK Dato’ Seth 5-2 dalam aksi final. Kolej Vokasional menduduki tempat ke-3 manakala SMK Munsyi Sulaiman hanya memperoleh tempat ke-4. Sementara itu, bagi kategori perempuan, tempat ke-3 dimenangi oleh SMK (P) Temenggung Ibrahim dan SMK Tunku Mahmood Iskandar sekadar menduduki tempat ke-4.

          Kejayaan SMK Semerah dalam arena sofbol amat memberangsangkan yang merupakan hasil titik peluh dan keringat para pemain yang diselia latih oleh barisan jurulatih  yang berdedikasi dan tabah. Syabas dan tahniah. Semerah menyerlah di persada. 


No comments:

Post a Comment