19 August, 2008

BADMINTON HANYA MERANGKUL PERAK

Malaysia hanya memperoleh pingat perak untuk acara perseorangan badminton Sukan Olimpik. Wirawan dan wirawati negara belum mampu merobek kekentalan Tembok Besar China untuk mengecapi pingat. Namun dengan berkat kesungguhan pemain badminton negara, Lee Chong Wei, kita akhirnya mendapat pingat perak apabila beliau tewas pada perlawanan akhir menantang jaguh China, Lin Dan.
Lee Chong Wei tidak mampu menahan asakan bertubi-tubi daripada Lin Dan dari China. Chong Wei tidak mempamerkan strategi serangan pantas melawan Lin Dan. Smash pancung tidak kelihatan. Gaya Chong Wei tidak seperti perlawanan separuh akhir. Jurulatih Misbun telah berusaha mengubah taktik pada separuh masa kedua namun Lin Dan lebih menampakkan kesungguhan untuk mengucup emas pada kali ini.
Bergu yang dikatakan bergu emas iaitu Koo Kian Keat dan Tan Boon Heong juga tersungkur pada suku akhir. Apa dah jadi dengan permainan mereka!
Permainan lain masih lagi belum mencapai taraf dunia. Tetapi kita pasti para peserta kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan pada peringkat tertinggi sukan dunia. Mungkin satu hari nanti kita boleh, seperti moto keramat Malaysia Boleh.

11 August, 2008

SUKANROBIK DAERAH BATU PAHAT



Pada 5 Ogos 2008 (Selasa), pasukan sukanrobik telah menyertai Pertandingan Sukanrobik Daerah Batu Pahat yang diadakan di BP Mall. Pertandingan ini adalah anjuran oleh JKD PJPK dan dikelolakan oleh SMK (P) Temengung Ibrahim. Pasukan sukanrobik SMK Semerah dianggotai oleh 8 orang peserta yang diketuai oleh saudara Amar bin Rahim dan dilatih oleh Cik Noor Nazira bt Maliki, Pn Zamilah bt Ekhwan dan En Hashim bin A Ghani.

Sebelum pertandingan, satu pertandingan peringkat dalaman telah diadakan. Peserta yang terpilih adalah mereka yang berkebolehan dalam sukanrobik ini. Justeru itu, mereka telah berlatih selama 3 minggu. Kerja keras mereka amat dikagumi. Harapan yang menggunung telah diberikan kepada pasukan ini. Ramai pelajar yang memuji corak persembahan mereka dan mereka mulai minat untuk menyertai latihan sukanrobik pada masa akan datang.

Semua sekolah menengah telah menyertai pertandingan ini. Namun demikian, nasib tidak menyebelahi SMK Semerah. Johan diungguli oleh SMK Tun Ismail, naib johan ialah SMK Tunku Mahmood Iskandar, tempat ketiga ialah SMK Seri Gading dan SMK Kolam Air menduduki tempat ke-4.

Upacara penyampaian hadiah dan penutupan rasmi dilakukan oleh En Mohsin Ibrahim, Penolong PPD Daerah Batu Pahat. Semoga tahun hadapan SMK Semerah akan terus berjuang untuk mendapat tempat terbaik dalam pertandingan sukanrobik. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat maju jaya, teruskan berusaha.

30 July, 2008

Malaysia Hebat

Itulah yang boleh diperkatakan tentang prestasi Malaysia ketika menentang Chelsea. Walaupun tewas namun kita boleh berbangga sekurang-kurangnya menafikan spekulasi umum bahawa Malaysia akan diratah oleh Chelsea. Persembahan mengagumkan kerana boleh bersaing dengan kelab ternama di dunia.
Kemampuan negara kita mengekang serangan pemain Chelsea amat dibanggakan. Kita tewas dengan keputusan 0-2 tetapi kita tewas dengan bermaruah. Teruskan Malaysia. Kalau kita tidak meyokong negara kita, siapa lagi!

28 July, 2008

Malaysia VS Chelsea

Malam ini adalah penentuan pertemuan Malaysia menentang kelab Chelsea. Keputusannya boleh dijangka pemenangnya. Tetapi kita perlu mengharapkan sokongan rakyat terhadap pasukan kebangsaan. Memang jauh panggang dari api untuk menang kerana prestasi dan imej kita dibandingkan dengan Chelsea umpama langit dengan bumi.
Namun demikian, semangat juang para pemain akan memberikan kita semangat agar pemain-pemain Malaysia terus berjuang. Janganlah kita asyik mengingat nama Frank Lampard, Deco atau John Terry tetapi sengaja melupakan Shukor Adan, Aidil Zaquan atau Eddy Helmi. Mereka juga perlu pengiktirafan. Kalau kita tidak menyokong pasukan kita, siapakah lagi...tak kan rakyat Bangaldesh atau Pakistan yang akan memberi sokongan kepada pasukan Malaysia.
Marilah kita terus menyokong pasukan negara.