21 May, 2010

ANALISA PENCAPAIAN TAHUN 2010

Setiap awal tahun sasaran akan dibuat untuk setiap permainan. Ada yang disasarkan untuk johan, ada juga disasarkan untuk penyertaan. Sasaran yang dibuat berdasarkan status pencapaian tahun lepas dan keupayaan guru dan pelajar untuk mencapai sasaran tersebut serta kemampuan pihak sekolah menyediakan prasarana untuk pembangunan sukan permainan. Nampaknya tahun 2010 ini,  pencapaian SMK Semerah boleh dikatakan sederhana walaupun dalam beberapa permainan menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Paling tinggi pencapaian ialah penyertaan 2 orang pelajar ke peringkat MSSM iaitu Mohd Izham Hamdan dan Wan Mohd Hanapi untuk acara kriket. Namun demikian, setakat ini juga ada 2 orang pelajar yang telah sampai ke tahap antarabangsa bagi acara marathon terbuka di Putrajaya iaitu Mohd Azwan Mesni dan Mohd Azwan Sobri Aziz. Kejayaan seperti ini adalah diharapkan akan menyuntik semangat di kalangan para pelajar agar terus bersaing dalam peringkat yang lebih tinggi di samping menaikkan nama sekolah. Teruskan berusaha para pelajar. Anda boleh!
Tahun depan 2011, perubahan ketara dalam aspek penglibatan pelajar dan program sukan permainan tahunan agar selaras dengan dasar kementerian iaitu 1 pelajar ; 1 sukan.   Kepada guru-guru yang bekerjasama dan memberi sokongan padu kepada Unit Sukan, terima kasih diucapkan. Penghargaan dan sekalung terima kasih juga kepada barisan jurulatih, pengurus dan pegawai-pegawai yang membantu membawa, melatih, mengurus dan memberi semangat kepada para pelajar SMK Semerah. Jasa dan pengorbanan guru-guru amat dihargai.

15 May, 2010

SELAMAT HARI GURU

                                                                   Ikrar Guru-Guru

Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan warga pendidik sama ada di SMK Semerah atau di mana-mana jua guru itu berada. Jasa dan pengorbanan guru tetap akan dikenang sehingga ke akhir hayat. "SELAMAT HARI GURU..cikgu".

Guru Pembina Negara Bangsa.
Bersedia melangkah megah

Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

29 April, 2010

HOKI MENGEKALKAN PENCAPAIAN 2009


Khamis, 29 April 2010. SMK Semerah sekali lagi mengulangi pencapaian tahun lepas dengan kejayaan pasukan hoki menduduki tempat ke-3 pada Pertandingan Hoki Bawah 18 Tahun MSSD Batu Pahat yang diadakan di Stadium Hoki UTHM pada 28 - 29 April 2010. Pertandingan pada tahun ini dikelolakan oleh SMK Datin Onn Jaafar.
Dengan seramai 16 orang pemain dan 4 pegawai yang diketuai oleh En Azhar Ghafar, En Halim Samad dan En Abu Bakar Ali sebagai jurulatih/pengurus serta dibantu oleh En Hashim A Ghani, team ini giat berlatih sejak berakhirnya latihan olahraga.
Dengan misi untuk ke final tidak kesampaian kerana disekat oleh SMK Dato' Bentara (SMKDBL) pada separuh akhir dalam perlawanan yang dikuasai oleh SMK Semerah dan perlawanan berakhir dengan SMK Semerah tewas 0-1 kepada SMK DBL. Namun team hoki bangkit untuk menduduki tempat ke-3 dengan menewaskan SMK Dato' Syed Esa dengan jaringan 1-0 yang bermain sehingga 'golden goal' setelah tamat masa sebenar.
Pertandingan hoki kategori lelaki dimenangi oleh SMK Dato' Bentar Luar, naib johan disandang oleh SMK Senggarang dan ke-4 diduduki oleh SMK Dato Syed Esa. Sementara itu, SMK Senggarang memenangi kategori perempuan, naib johan ialah SMK Seri Medan, ketiga ialah SMK Banang Jaya dan keempat dirangkul oleh SMK Datin Onn Jaafar.
Penyampaian pingat dan hadiah disempurnakan oleh Tn Hj Daud Tukiman, Pengetua SMK Datin Onn Jaafar. Kepada team hoki, tahun depan kita berusaha lagi untuk misi ke final. Buktikan kita boleh !
 

25 April, 2010

KARNIVAL SUKAN PERMAINAN 2010



Ledang, 26 April. Sembilan (9) jenis permainan dihimpunkan dalam aktiviti Karnival Sukan dan Permainan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2010 telah diadakan di Ledang pada 23 - 25 April 2010. Bola baling, sepak takraw, ping pong, sofbol, tenis, memanah, bola keranjang, ragbi dan badminton adalah permainan yang dijalankan. Para peserta dan pegawai pasukan ditempatkan di Kolej Matrikulasi Tangkak, Ledang manakala para pengadil menginap di SMK Tun Mamat. Seramai 3500 orang peserta dan kira-kira 500 pegawai terlibat dalam karnival ini. Memanah, tenis dan badminton dijalanakan di Kolej Matrikulasi Tangkak manakala permainan lain dijalankan di sekolah-sekolah berhampiran.
Memang meriah karnival tersebut berjalan. Inilah kali pertama aktiviti sukan permainan yang melibatkan 9 jenis permainan diadakan serentak. Kelihatan sejumlah besar bas dan kereta memenuhi kawasan kolej dan 'bandar tekstil' selama 3 hari. Penyampaian pingat dan hadiah disampaikan di tempat pertandingan dijalankan. Paling akhir pertandingan ialah sofbol. Sofbol dijalankan di SMK Seri Tangkak .
Dalam pada itu, seramai 3 orang pelajar SMK Semerah telah mewakili Batu Pahat ke karnival tersebut. Umu Haziqah Abu Bakar menyertai team sofbol manakala Mohd Ilham Abd Rahman dan Rozita Abd Wahid menyertai kontijen memanah. Tahniah kepada mereka khususnya Mohd Ilham mendapat emas acara Olimpic Rounders (3 sepasukan) dan Umu Haziqah kerana membantu Batu Pahat menjadi naib johan P18.

 Bagi pertandingan sofbol, pasukan Batu Pahat menjadi naib johan perempuan 18, ketiga lelaki 12 dan keempat perempuan 12. Bagi P18, Batu Pahat memulakan langkah bergaya dengan membenam Kota Tinggi 12-1, membelasah Pontian 18-5 pada peringkat kumpulan. Kemudian menang menentang Kulai Jaya 5-4 dalam perlawanan yang dramatik dan sengit. Pada peringkat semi final, P18 Batu Pahat menumbangkan Muar 19-5. Namun, pada perlawanan akhir tewas 11-14 Pasir Gudang dalam perlawanan yang sengit walaupun mendahului 11-10 pada inning terakhir. 10 minit terakhir barulah Batu Pahat tewas.
Karnival Sukan Permainan ini telah ditutup rasmi oleh Tn Hj Markom Giman, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor. Jam 6.00 petang, semua kenderaan yang membawa peserta dan pegawai meninggalkan 'bandar tekstil' dan bandar Ledang kembali seperti biasa. Kepada pasukan yang menang, tahniah diucapkan. Pasukan yang kalah, tahun depan cuba lagi. Syabas kepada pihak penganjur yang berjaya mengelolakan karnival tersebut. Tahun depan berjumpa lagi.

Team P18 Batu Pahat : Naib johan
Barisan tengah dari kiri : En Faizal, En Meshafizam, En Hashim dan Pn Raha