10 March, 2011

BOLA BALING L18 : JUARA BERGAYA



Juara L18 Batu Pahat
Excellent. Kehebatan terserlah. Menang bergaya. Itulah antara kata-kata yang boleh diberikan kepada pasukan bola baling lelaki SMK Semerah atas kejayaan menjuarai kategori lelaki Pertandingan Bola
Baling L/P 18 Tahun MSSD Batu Pahat. Pertandingan yang dikelolakan oleh SM Vokasional Batu Pahat dijalankan pada 9-10 Mac 2011. SMK Semerah menghantar juga pasukan perempuan. namun mereka tersekat pada pusingan awal dengan kalah kepada SMK Seri Medan 1-4, SMK Seri Gading 1-3 dan seri 1-1 dengan SMK Tun Aminah.
Kekalahan pasukan perempuan tidak melemahkan semangat pasukan lelaki. Sirna keunggulan pasukan ini bermula dengan menewaskan SMK Senggarang 5-4 dalam perlawanan pantas dan lasak. Langkah diteruskan dengan menumpaskan musuh tradisi SMK Tun Ismail 3-2. SMK Semerah membenam SMK Dato' Onn 6-3 dengan para pemain beraksi dalam hujan.
Dengan status johan kumpulan C, SMK Semerah terus memburu tempat ke semi final dengan menumbangkan SMK Munsyi Sulaiman 5-3 dalam permainan sengit. Pada peringkat semi final, pasukan ini membalas dendam lama dengan mengejutkan SMK Datuk Menteri 2-1 dalam aksi serang-menyerang yang mendebarkan antara kedua-dua belah pasukan.
Dalam final, SMK Semerah menyerlahkan keunggulannya dengan mendahului 5-3 pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, para pemain terus mengganas dengan menjaringkan 7 gol, sekaligus melenyapkan impian SMK Dato' Onn dengan kemenangan bergaya 12-4. SEMERAH JOHAN ! Johan kategori perempuan dimenangi oleh SMK Penghulu Saad buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut En Hashim, pasukan ini telah dibentuk sejak 3 tahun yang lepas dengan misi untuk menjuarai bola baling pada peringkat daerah. Pasukan ini adalah naib juara kategori Lelaki 15 pada tahun 2009 dan berjaya ke suku akhir pada tahun lepas pada kategori Lelaki 18 tahun. Maka tahun ini, sasarannya ialah untuk menjadi johan, tambah En Hashim lagi.
Tahniah kepada para pemain dan para pegawai pasukan, Cik Norul Rafidah bt Redzuan, Cik Nornida bt Sapuan dan Cik Hasralda bt Abu Hassn, teruskan melatih team perempuan. Syabas kepada En Hashim A. Ghani selaku jurulatih dengan dibantu-urus oleh En Roslan bin Mohamad dan En Ahmad Hamizan bin Mohd Khir yang membimbing team lelaki menjadi johan pada tahun ini.Tahniah. SEMERAH BOLEH !

27 February, 2011

TERIMA KASIH, SELAMAT BERTUGAS

Setelah sekian lama mencurahkan kudrat dan ilmu kepada para pelajar SMK Semerah, hari ini tiada lagi kelibatnya di Semerah. Tiada lagi suaranya di padang. Perginya setelah meninggalkan jasa. Itulah Cikgu  (Puan) Zamilah bt Ekhwan. Lebih 10 tahun berbakti di SMK Semerah, kini dinaikkan pangkat dengan menjawat jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Convent.
Beliau aktif dalam menjalankan tugas khususnya yang berkaitan dengan subjek PJK dan aktiviti sukan permainan. Setiap tahun pasti kelibatnya ada di padang. Olahraga, bola baling, bola tampar, boling dan sebagainya adalah sukan yang biasa beliau ceburi. Malah kini beliau memegang jawatan Pengerusi Teknik Renang Daerah Batu Pahat.
Unit Sukan mengucapkan terima kasih atas jasa dan sumbangan beliau. Terima kasih dan selamat bertugas. Teruskan perjuangan.

Team Merentas Desa 2009


23 February, 2011

KRIKET TIDAK KESAMPAIAN


Team kriket masih tidak kesampaian untuk mengungguli arena kriket di daerah Batu Pahat untuk tahun 2011. Masih mengekalkan naib johan seperti tahun 2010 apabila tewas dalam final Pertandingan Kriket MSSD Batu Pahat yang dilangsungkan di SMK Dato' Syes Esa pada 27-28 Januari 2011.
Dengan dilatih oleh En Mohd Faiza dan En Hashim serta dibantu oleh En Azhar dan En Norzaihan, team ini menjuarai kumpulan B dengan membenam SMK Tun Ismail dan SMK Tinggi Batu Pahat. Kemudian menewaskan SMK Dato' Onn pada separuh akhir. Namun kemaraan team ini disekat oleh tuan rumah pada perlawanan akhir. Pingat dan sijil disampaikan oleh Tn Hj Fauzan, Pengetua SMK Dato' Syed Esa. Tahniah kepada para pemain dan pegawai. 4 orang pemain telah dipilih untuk mewakil daerah Batu Pahat ke MSS Johor. Moga tahun depan cubalah lagi untuk status johan pula. Teruskan usaha.

22 February, 2011

LARIAN MAHKOTA : DAULAT TUANKU


Rekod dicipta! Larian oleh 680 ribu warga pendidikan bersama Tunku Mahkota telah mencipta satu rekod yang dicatat oleh Malaysian  Books of Record iaitu larian serentak paling ramai di Malaysia. Justeru itu, di SMK Semerah juga tidak ketinggalan menyertai Larian Perdana Mahkota tersebut.
Dengan jarak 3 km, warga sekolah diketuai oleh Tn Hj Adam bin Abu berlari beramai-ramai menyelusuri jalan raya di Pekan Semerah, terus ke Pasar Awam Semerah dan balik ke SMK Semerah melalui Lorong Sekolah. Walaupun tidak sejauh larian merentas desa, semua warga bersemangat menamatkan larian dalam masa 30 minit. Dengan bantuan lalu lintas oleh polis peronda dari Balai Polis Semerah, kelihatan ibu bapa juga berlari dengan para guru dan para pelajar. Tahniah kepada semua warga sekolah. Kita semua menghargai dan menjunjung Tunku Mahkota ; Daulat Tuanku.