12 December, 2008

XPDC Ke Taman Negara Selai, Bekok

Pada 18-20 Oktober 2008, Panitia PJPK telah menganjurkan XPDC Ke Taman Negara Selai, Bekok. XPDC ini disertai oleh 40 orang pelajar Tingkatan 3, 4, dan 6R serta diiringi oleh 8 orang guru iaitu En Hashim, En Halim, En Roslan, En Hafiz, En Zaad, Pn Zamilah, Cik Nornida dan Cik Nazira.
Objektif program adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai hutan dan persekitarannya, meningkatkan kecergasan fizikal dan minda serta menyemai jati diri di kalangan para peserta. Hari pertama bermulalah cabaran iaitu laluan bukit berliku dan cuaca hujan namun tidak mematahkan semangat membara para peserta. Ilmu perhutanan seperti memasak makanan dalam daun, teknik menghidupkan api dan sebagainya dicurahkan oleh fasilitator pada petang hari pertama.
Pada hari kedua, cabaran mendaki ditempuhi oleh semua peserta. Penat lelah mereka terubat setelah menemu lokasi air terjun. Apa lagi mereka begitu takjub melihat keindahan dan kesejukan air terjun. Kepenatan mengharungi denai dan hutan rimba serta serangan pacat seolah-olah hilang apabila aktiviti air dijalankan di kawasan air terjun tersebut. Pada malamnya para peserta menunjukkan bakat dalam aktiviti pertandingan memasak dengan mempraktikkan ilmu memasak menggunakan daun. Ikan diperoleh dari sungai berdekatan. Rupanya mereka semua berbakat dalam masakan. Guru-guru lelaki pula pergi berburu manakala guru-guru perempuan menjadi hakim pertandingan masakan.
Hari ketiga adalah aktiviti santai dengan lebih banyak aktiviti air seperti berkayak, berenang dan permainan air. Para peserta XPDC amat teruja dengan program ini. Tahun depan buatlah lagi.
Terima kasih atas kerjasama semua peserta, guru-guru pengiring, para fasilitator, pihak taman negara dan pihak sekolah.

14 October, 2008

Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan, Semerah dan Maresma

Khamis, 9 Oktober 2008. Lima buah sekolah di kawasan parlimen Parit Sulong telah bertanding dalam satu acara tahunan iaitu Pertandingan Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan dan Semerah Kali Ke-25. Pada tahun ini, MRSM Batu Pahat telah mengelolakan pertandingan tersebut.
Kontijen SMK Semerah telah disertai oleh 48 orang pelajar dengan diiringi oleh 16 orang pegawai. Skuad bola sepak diketuai oleh En Hafiz bin Mohd Zaid sepak takraw oleh En Hasbi Md Nor, bola jaring pula diketuai oleh Cik Norsaedah bt Jamal manakala skuad bola baling oleh Cik Noor Nazira bt Maliki. Sementara itu, team boling diketuai oleh En Mohd Zaad bin Hisham sebagai pengurus team dan disertai oleh 10 orang guru.
Berkat semangat juang yang tinggi, SMK Semerah telah menduduki tempat ke-4 keseluruhan. Pasukan bola baling menjadi naib johan Piala Semerah, pasukan bola jaring menduduki tempat ke-4 Piala Wawasan, team sepak takraw hanya berjaya dalam peringkat kumpulan manakala pasukan bola sepak menduduki tempat ke-4, Sementara itu, team boling guru-guru mendapat tempat ke-4 dan ke-6 dengan En Amir Hamzah merangkul tempat ke-3 keseluruhan kategori individu lelaki manakala Cik Siti Meriam bt Hasin menduduki tempat ke-4 keseluruhan kategori individu perempuan.
Pingat dan piala disampaikan oleh Pn Hjh Norzan bt Mohd Akib, Pengetua MRSM yang seterusnya menutup rasmi kejohanan tersebut. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta-peserta SMK Semerah yang menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam penyertaan ke pertandingan tersebut. Juga terima kasih kepada guru-guru yang membimbing dan melatih para peserta. InsyaAllah, tahun depan SMK Semerah akan bangkit semula dengan misi menjuarai kejohanan tersebut.

30 August, 2008

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA

Hari ini genaplah 51 tahun negara Persekutuan Tanah Melayu membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat negara kita mengecapai kebebasan daripada unsur kolonial yang bermula dari era Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Pada masa itu, Sabah dan Sarawak belum masuk Persekutuan Tanah Melayu. Gabungan Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu melahirkan gagasan Malaysia pada 16 September 1963. Namun demikian tarikh 31 Ogos juga telah dipilih untuk meraikan Hari Kemerdekaan negara Malaysia; satu simbolik kejayaan rakyat negara ini membebaskan diri daripada zaman penjajahan.
Oleh itu, Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan Selamat Hari Merdeka Ke-51 kepada semua pelajar dan rakyat Malaysia. Sisipkan dalam dada dan sanubari erti kemerdekaan. Kemerdekaan bukan dapat digapai dalam tempoh masa yang singkat. Merdeka memerlukan pengorbanan; ramai yang telah berkorban harta dan benda, malah ada yang terkorban. Merdeka memerlukan perjuangan. Demi masa depan bangsa, agama dan negara, bersama-sama kita meraikannya. Laungkanlah MERDEKA. Perpaduan Teras Kejayaan.

29 August, 2008

PEMILIHAN PESERTA KE PIALA WARISAN

Kini telah sah bahawa Pertandingan Piala Warisan, Sepedoman, Wawasan dan Semerah akan diadakan pada 9 Oktober 2008 di MRSM Batu Pahat. Pertandingan tersebut bakal disertai oleh 5 buah sekolah sekitar Parlimen Parit Sulong iaitu SMK Semerah, SMK Penghulu Saad, SMK Dato'Onn, SMK Darto' Sulaiman dan MRSM.
Pertandingan ini melibatkan 4 permainan iaitu bola sepak dan sepak takraw untuk lelaki manakala bola jaring dan bola baling untuk perempuan. Mesyuarat berkaitan telah diadakan pada 26 Ogos 2008 di Bilik Mesyuarat MRSM.
Justeru itu, untuk memantapkan penyertaan pada tahun ini, SMK Semerah mengadakan pemilihan pemain pada 28 dan 29 Ogos 2008. Agihan tugas pegawai telah diedarkan. Jurulatih dan penolong jurulatih telah turun untuk menentukan calon-calon yang disenaraipendekkan untuk mewakili sekolah pada pertandingan tersebut. En Hafiz, En Hasbi, En Hashim, Cik Saedah dan Cik Nornida telah turun padang untuk proses pemilihan pemain-pemain. Pemilihan bola sepak dijalankan oleh En Hafiz, sepak takraw oleh En Hasbi, bola jaring oleh Cik Saedah dan Cik Nornida manakala En Hashim memilih pemain-pemain bola baling.
Kembali sahaja dari cuti Hari Raya Puasa, para pelajar yang telah terpilih mewakili sekolah akan menjalani latihan insentif dari Isnin hingga Rabu. Khamis, 9 Okt 2008 adalah hari perlawanan. Unit Sukan SMK Semerah mengucapkan selamat berlatih kepada para pelajar yang terpilih mewakili sekolah. Tanamkan azam untuk berjuang demi sekolah. Anda boleh berjaya! Selamat bertarung dan selamat berpuasa dalam bulan Ramadan.