05 September, 2009

GAYA HIDUP SIHAT DENGAN 10,000 LANGKAH BERJALAN KAKI

Berjalanlah selama 5-10 minit sehari atau berjalanlah untuk 10,000 langkah ; kita mampu mengekalkan kesihatan tubuh dan kecergasan badan. Berjalan kaki, khususnya berjalan secara pantas (brisk wakling) selama 3 – 5 kali seminggu mampu memetabolisma (memproses) makanan yang dimakan. Berjalan kaki boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan merendahkan paras kolestrol. Juga boleh membantu mengawal tekanan darah, mencegah penyakit darah tinggi serta strok dan mengurangkan risiko penyakit kanser usus, payu dara dan prostat. Bagi pengidap diabetes pula, senaman jalan kaki amat baik untuk meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan membantu aliran darah.


Bagi mereka yang mengalami stress juga digalakkan melakukan senaman berjalan kaki kerana ia menghasilkan hormon endorphin yang membuatkan kita lebih ceria dan sihat. Sementara itu aktiviti berjalan kaki juga mengekalkan kekuatan otot dan mengurangkan risiko osteoporosis.


Oleh itu berjalanlah secara konsisten dengan kaedah yang betul iaitu bahagian tumit perlu mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki lain. Ketika berjalan pula, postur badan perlu tegap dengan menegakkan kepala, meluruskan belakang badan dan bernafas melalui hidung di samping tangan perlu dihanyun. SASARKAN LANGKAH ANDA KERANA SETIAP LANGKAH MEMBAWA FAEDAH.

BERJALAN 10,000 LANGKAH SAMA SEPERTI :-
Berenang selama 90 minit
Berbasikal selama 70 minit
Perjalanan selama 6 – 8 km
Bermain bola sepak selama 90 minit



22 August, 2009

NO 1 TIDAK SEMESTIYA TERBAIK


Arena sukan negara dikejutkan dengan kekalahan para pemain badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia 2009. Dengan status nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan bergu perempuan Wong Mei Choo-Pei Thyi serta bergu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Farizzuan-Tazari  telah meranapkan impian untuk menjuarai kemuncak arena badminton dunia (tidak ada seorang pun wakil negara berjaya beraksi pada final). Platform nombor 1 dunia belum mampu menjuarai kejohanan utama badminton. Lantaran itu kita tidak boleh menabik dada bahawa pemain kita berstatus nombor satu dunia maka kita pemain pasti yang terbaik dunia.
Namun kejayaan Datuk Nicol Ann David yang sehingga sekarang mengungguli status nombor satu dunia dalam arena squash dalam dua tahun ini melakarkan sejarah sukan dunia bahawa beliau masih terbaik dalam dunia squash. Banyak piala telah dikecapi, hanya kalungan Olimpik sahaja belum diperolehi (kerana tiada acara squash dalam Olimpik).
Malah kejayaan menakjubkan Usain Bolt selaku manusia terpantas di dunia dalam acara 100 meter dan 200 meter membuktikan beliau adalah nombor 1 dan yang terbaik. Usain Bolt mencatat 9.58 s dan 19.19 s bagi acara 100 meter dan 200 meter (satu ketika dahulu pakar sukan tidak pernah meramalkan catatan sedemikian). Inilah yang kita mahukan agar apabila kita menjadi nombor 1 maka kita juga sepatutnya yang terbaik.
Justeru itu, kemampuan atlet sukan kita bersaing di peringkat dunia memang tidak dinafikan. Namun pencapaian secara konsisten amat penting untuk menjadikan atlet kita menjadi nombor 1 dan seterusnya yang terbaik. Teruskan Datuk Nicol Ann David, tingkatkan lagi usaha bagi pemain-pemain badminton negara, berjuanglah Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin (lumba basikal), pamerkan aksi terbaik Sazali Samad (pembina badan terbaik kategori lightweight) dan teruslah berlatih kepada team pelayar negara (memenangi Pasukan Terbaik Dunia dalam Kejohanan Optimis Dunia di Brazil). Juga teruskan berjuang kepada atlet Safuan Said, rangking satu dalam boling padang (memenangi Kejohanan Dunia Boling Padang di Warilla, Australia) dan Mohd Salam Sidik, pemanah paralimpik terbaik dunia serta semua atlet yang memakai jersi harimau Malaysia. Pastikan anda nombor 1 dan juga terbaik dunia. Andalah antara wira-wirawati yang menyerlahkan sinar nama dan imej negara dalam persada sukan serantau, Asia dan antarabangsa.

100 WIRA MALAYSIA



100 Wira Malaysia telah diumumkan oleh Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia sempena 100 hari pentadbiran beliau. Wira dan wirawati ini mencakupi tokoh politik, ekonomi, masyarakat, budaya, sukan dan akademik yang telah banyak menyumbangkan khidmat bakti serta memberikan impak yang besar dalam coretan sejarah negara.
Terdapat beberapa tokoh daripada kelompok sukan tanahair yang diangkat martabatnya mengungguli 100 Wira Malaysia. Antaranya Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari dan keluarga Sidek. Ketokohan mereka dalam menaikkan bidang masing-masing memang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Kemampuan mereka hendaklah dijadikan ikon dan idola untuk kita terus menjulang imej negara dalam bidang sukan agar terus cemerlang, gemilang dan terbilang di persada serantau, Asia dan dunia.

15 August, 2009

PETANQUE & TENPIN BOLING PERTINA


Pertina SMK Semerah telah menyertai Pertandingan Petanque dan Pertandingan Tenpin Boling Tingkatan Enam Daerah Batu Pahat yang diadakan serentak pada 14 Ogos 2009. Pertandingan petanque diadakan di Gelanggang Petanque Taman Flora yang dikelolalakan oleh SMK Datin Onn Jaafar manakala pertandingan tenpin boling diadakan di Pacific Bowl, BP Mall telah dikelolakan oleh SMK Dato' Onn.
Team petanque diiringi oleh En Hamizan dan Cik Hjh Shereen manakala En Azhar Ghafar dan En Hashim A. Ghani bertindak sebagai jurulatih. Dengan usaha dan latihan gigih yang berterusan, team petanque perempuan telah memenangi tempat ketiga. Sementara itu, nasib tidak menyebelahi team lelaki yang hanya berjaya sehingga ke suku akhir.
Sementara itu, pasukan boling lelaki diiringi oleh Pn Fadzilah Mahadi, Cik Siti Meriam, Pn Zamilah Ekhwan dan En Hafiz Md Zaid yang juga bertindak sebagai jurulatih, telah mendapat tempat ke-9, manakala team perempuan menduduki tempat ke-5. Kategori perempuan individu, Nordiyana bt Balya telah menduduki tempat ke-5 dalam boling kategori perempuan. Mungkin tahun hadapan pasukan boling akan lebih berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.